Jun 22, 2007

oinori (solat)

Faris masih menangis teresak-esak di dalam bilik mandi. Sesekali terdengar dia bercakap sendiri. Saya cuba memasang telinga tetapi suaranya tidak jelas kedengaran. Kadang-kadang selepas memarahi Faris berbagai perkara bermain di benak saya. Terlalu emosionalkah saya? Setimpalkah kesalahan Faris lakukan dengan kemarahan saya? Tetapi semua persoalan itu tiada pada kali ini. Berlainan dari sebelum ini saya lansung tidak memujuknya. Hati ini masih panas ! Segera saya alihkan fikiran ini pada kerja membasuh pinggan mangkuk. Sudah berkali-kali saya menegurnya tentang tatatertib dan adab sembahyang tetapi Faris masih sambil lewa. Kemarahan saya memuncak tadi !

Sebentar kemudian terdengar bunyi tapak kakinya dari arah belakang. Saya segera menoleh. Tubuhnya masih dibaluti tuala. Tiba-tiba Faris berkata ‘Mama... sakki gomen nasai (Mama... minta maaf tadi), mou ni do to sinai kara (Faris janji tak akan buat lagi), Gomen nasai (Minta maaf)’.

Saya perhatikan matanya yang merah kembali bergenang airmata. Berkali-kali Faris meminta maaf, membuatkan timbul rasa simpati dan sayu.

‘Mama marah kerana mama sayangkan Faris’ balas saya lalu memeluknya.

Mama gomenne, gomenne...’ucap Faris lagi. Semakin erat saya memeluk dirinya semakin kuat tangisannya.
Saya membiarkan dia di dalam dakapan.
Syukur kerana Faris telah menyedari kesilapannya.

Sememangnya cabaran membesarkan anak terutama melibatkan hal agama di negara asing adalah lebih berat berbanding di negara sendiri. Jika di Malaysia anak-anak diajar sembahyang dan mengaji semenjak di tadika lagi, di susuli dengan pelajaran agama di kelas agama dan sekolah tetapi di sini tugas tersebut 100% perlu dilakukan di rumah.
Menjadi rutin kami, selepas selesai solat jemaah maghrib hubby akan mengajar Faris mengaji. Pernah suatu hari Faris bertanyakan mengapa dia perlu membaca muqaddam? Berbagai jawapan saya berikan tapi dia masih tidak berpuas hati sehinggalah saya mengajukan soalan ini kepadanya.. ‘Kalau Faris tak pandai mengaji, siapa yang akan bacakan yasin pada mama dan papa bila mama dan papa sudah tiada nanti?, mama hanya ada Faris sorang saje.’ ..semenjak dari hari itu dia tidak lagi banyak berdalih apabila disuruh mengaji. Tetapi di dalam bab solat ianya bukanlah semudah bab mengaji.
Semoga kami terus diberi kesabaran untuk mendidik Faris menjadi anak yang baik dan soleh.