Feb 5, 2009

Boring

Suatu petang di hujung minggu semasa membelik-belik suratkhabar saya dengar Faris mengomel-gomel seorang diri.

'Nak main DS, boring.
Nak main piano pun boring.
Nak main kat luar panas.
Nak main computer game, mama kata rosak mata.
Apa nak buat ni...' kata Faris sambil menekan remote tv, memilih channel 611 rancangan kartun network kegemarannya.

Sebentar kemudian, tv berkelip-kelip lepas tu terpadam sendiri. (Nota: tv rumah kami uzur)

'Nak tengok tv, tv rosak. Boringnya...' Faris bersuara lagi.

Saya letak surat khabar.

'Jom Faris, kita main pokemon kad game' ajak saya.
'Jommmm' balasnya cepat sekali.

Jan 29, 2009

SUBHANALLAH

Gambar ini diambil oleh saya sendiri pada 30 Muharram 1430H bersamaan 27 Januari 2009, di Kota Bharu Kelantan sekitar waktu magrib.

Maha suci Allah yang memperlihatkan kebesaranNya kepada kita.









Jan 5, 2009

Malu

Di suatu petang.

'Mama ada perkara nak bincang dengan Faris,' sapa saya.

'Apa dia?' tanya Faris.

'Mama nak hantar Faris sekolah agama,' kata saya.

'Tahu...' jawab Faris mengebilkan mata. Menanti kata-kata seterusnya. Ini bukan kali pertama saya menyuarakan perkara tersebut.

'Cuma, Faris mungkin kena masuk kelas murid darjah satu,' beritahu saya.

'Eeeee tak nak, malulah Faris,' balas Faris. Mencebikkan muka.

'Kalau Faris masuk darjah empat, semua kawan-kawan dah tahu baca jawi tulis bahasa arab. Faris belum tahu apa-apa...bla-bla-bla' panjang lebar saya bersyarah. Cuba memahamkannya situasi sebenar.

'Nanti Faris pikir dululah' jawab Faris. Mukanya serious.

Keesokkan harinya ketika bersarapan pagi .

'Mama, I have decide my kelas agama,' ucap Faris tersenyum.

'I'll will follow your advise,' tambahnya lagi.

Oh anakku...rupa-rupanya kerana mim alif lam wau semalaman dia memikirkan perkara ini!
Nota: Hari ini merupakan hari pertama Faris ke sekolah agama. Berbaju melayu putih bersampin ungu bersongkok hitam...segak sekali anak mama!

Dec 28, 2008

Kita istimewa

'Faris buat apa?' tanya hubby.

'Tidur,' jawab saya ringkas. Menghalakan webcam ke arah Faris.

'Kenapa yang?' tanya hubby bila melihat saya termenung.

'Kenapa kita perlu lalui semua ni bang?' pertanyaan yang dibalas dengan pertanyaan. Kepala saya sarat memikirkan hal Faris dan kerja. Semua harus saya lakukan seorang diri.

'Sebab kita istemewa,' balas hubby.
'Orang lain tak rasa apa yang kita rasa,' tambah hubby lagi.

10 tahun lepas, saya tinggalkan anak dan suami. Hidup sendirian di negara asing mengejar cita-cita. Bukan mudah melalui detik-detik itu. Hati dan emosi berperang dengan perasaan. Hanya semangat yang menjadi pendorong dan bekal kekuatan diri.
Kini, saya di negara sendiri namun masih merasai lagi perasaan sebegitu. Bezanya sekarang, saya dapat melihat hubby nun jauh di sana secara lintas lansung. Sedikit sebanyak keresahan hati ini terubat...syukur alhamdulillah.

Dec 4, 2008

Panggilan rindu

Telipon berdering. Jam menunjukkan pukul 4:30 petang. Dah saya agak, tentu panggilan dari Faris.

'Mama nani yatteruno, isogasyi (Mama buat apa, sibuk ke)?' tanya Faris.

'Mama masih di ofis, kenapa Faris?' balas saya.

'Faris rindu mama, mama daijyoubu (ok ke)? tanya Faris.

'Daijoubu dayoo (ok)' jawab saya. Cuba menyedapkan hati Faris.

Hari ini saya membenarkan Faris bermalam di rumah mak angkat Jepun, Puan Tamaki.
Alahai anakku baru sehari berpisah sudah buat panggilan rindu. Tapi, sebenarnya mama pun rinduuuu...

Nov 12, 2008

Doa ibu

Suami saya keturunan Jawa. Mak mertua saya masih pekat ngomong Jawanya. Orang Jawa kalau bercakap nampak agresif, kadang-kadang tu nampak macam nak bergaduh (bagi saya yang tidak memahami bahasa mereka). Tetapi mereka berhati lembut. Mereka juga suka memberi kata-kata nasihat.

Masih saya ingat lagi ...
'Nur, duit tu jimat-jimat, kumpul untuk pergi haji. Simpan sehari seringgit lama-lama jadi banyak, boleh beli tanah, beli rumah...
Kalau ada sesuatu hajat untuk anak buatlah puasa sunat pada hari lahirnya. Bagi minum air bacaan yasin pada Faris. Semasa Faris nak tidur baca dan hembuskan ayat kursi ke telinganya.
Selalu doa untuk Faris, minta hatinya terang. Elok amalkan puasa Isnin Kamis, sambil-sambil tu berniat untuk dia...' pesan mak dalam pelat bahasa melayu.

Setiap kali berjumpa mak, itulah nasihat yang selalu disampaikan. Sekarang ingatan mak kian tumpul, sekejap ingat-sekejap lupa. Tapi kata-kata itu tidak pernah lucut dari bibir seorang ibu tua yang sudah lanjut usianya.

Minggu depan Faris akan menghadapi peperiksaan. Mungkin inilah masanya saya mencuba 'resepi' dari mak mertua.
'Ya Allah ya tuhanku... jadikanlah Faris seorang anak yang baik, anak yang menyenangkan hati kami baik untuk kehidupan dunia mahupun akhirat. Lapangkanlah dadanya, terangkanlah hatinya agar dapat dia menerima dan memahani ilmu yang di pelajari, ilmu dunia dan ilmu akhirat. Amin ya rabbal alamin', saya selalu berdoa.

Oct 21, 2008

Sembahyang sunat

Balik dari surau papa bercerita pada saya.

'Papa, kitakan dah habis sembahyang magrib kenapa pakcik tu sembahyang lagi?' tanya Faris. Memegang kain pelikat yang hampir terlondeh.

'Pakcik tu sembahyang sunat,' jawab papa.

'Eeeee pakcik tu tak 'sunat' lagi ke?' tanya Faris kehairanan.

Papa kerut dahi...anakku tahu bahasa tapi tak tahu makna!

Oct 7, 2008

Sebelah rumah

Raya ke-lima kami sekeluarga berkunjung ke rumah Mak Lang (kakak ipar) di Teluk Intan. Di rumah hanya tinggal Mak Lang dan Pak Lang berdua saja. Anak-anak Mak Lang semua dah pulang. Kebanyakan mereka berkerja di sekitar KL.


'Hitori mo inai ne (Tak ada sorang pun di sini),' kata Faris memandang sekeliling. Kaki menghayun buaian perlahan-lahan.

'Soone...' saya mengiyakan. Kaki menolak lantai cuba melajukan hayunan buai.

'Mama dan papa pun bila tua-tua nanti, jadi macam Mak Lang & Pak Lang juga,' sambung saya.

'Boku ga iru desyou! mama wa hitori nannka sasenai karane (Fariskan ada! Faris tak akan biarkan mama sorang-sorang),' kata Faris. Memandang tepat ke arah saya.

'Bila Faris dah dewasa, dah masuk universiti, lepas tu kerja, tentu Faris kena tinggal jauh dari mama,' terang saya membalas pandangannya.

'Iya daa... boku no uthi wa mama no uthi no tonari ni tatetai! (Tak nak... Faris nak buat rumah sebelah rumah mama!), kata Faris. Menyandarkan kepalanya di bahu saya.

Saya tersenyum, mengusap-gusap rambutnya. Gembira dan terharu mendengar kata-kata Faris.

Sep 20, 2008

Salam Perantauan

Sembang-sembang di corong telifon.

Me: Abang tak nak hantar ucapan salam perantauan kat kami ke?

Hubby: 3 tahun lepas abg pernah hantar tapi Utusan tak siarkan.

Me: Cubalah lagi kali ni.

Hubby: Apa nak tulis yek? Emmm... buat isteri anak yang jauh di mata... (Hubby mula mengarang ayat berbunga-bunga.)

Me & hubby: Hahaha... (Kami ketawa terbahak-bahak.)
Dalam hati tobat suami ku tak akan tulis macam tu, geli-gelemang hati ini dibuatnya.

Sep 3, 2008

Harijadi

---Selepas bersahur---


'Faris tidurlah, nanti mama kejut,' kata saya bimbang Faris mengantuk di sekolah. Hari ini hari pertama persekolahan setelah bercuti hampir sebulan setengah.

'Tak nak lah mama, Faris tak sabar nak pergi sekolah,' balas Faris.

---Sebentar kemudian saya jenguk lagi ke dalam biliknya---

Dari celah pintu, saya nampak Faris tersenyum-sengih. Tengah berangan-angan barangkali.

'Faris fikir apa?' tanya saya.

'Hehehe... tak de apa-apa mama,' jawab Faris.

Saya biarkan saja gelagatnya.

---Dalam perjalanan ke sekolah---

'Faris seronok sangat hari ni,' kata Faris.

'Kenapa?' tanya saya.

'Sebab hari ni Faris dapat jumpa Iman dan kawan-kawan lain, mama dan papa pulak ada surprise utk Faris,' jawap Faris. Dari tadi senyuman tak lekang dari bibir.

3 Sept 2008, genap 9 tahun umur Faris. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, harijadi kali ini ada kelainannya. Dapat bertemu dengan Iman yang dinanti-nanti selama ini dan dapat apa yang diingini. Happy birthday to my beloved son.

Abg Faris temankan Iman makan.
Iman masih sama seperti dulu malu-malu kucing masih tak berani bertentang mata dengan abg Faris.
Tersenyum lebar bersama hadiah.

Aug 8, 2008

10th anniversary

080808 tarikh istimewa dalam hidup kami. Hari kami diijabkabul.
Setiap kali datang hari ini, pasti saya akan teringat pada satu kisah silam. Membuatkan saya rasa terharu dan sentiasa bersyukur.


Pepatah ada mengatakan 'Bumi mana yang tidak di timpa hujan' dan 'Laut mana yang tidak bergelora'. Begitu juga dengan perkahwinan kami. Kami pernah diuji.

Suatu ketika dulu...tangan saya mengeletar, dada berdenyut kencang dan perasaan sentiasa celaru. Saya keliru dengan perasaan sendiri. Tengok muka hubby timbul rasa benci ya amat sangat. Satu perasaan yang susah untuk digambarkan. Kami selalu bergaduh pada perkara yang tidak sepatutnya dijadikan punca perbalahan.
Kami berjumpa dengan beberapa orang doktor pakar tetapi jawapan yang sama kami terima. Saya disahkan tidak mempunyai sebarang masalah atau penyakit, cuma kata doktor saya mungkin mengalami stress kerana perubahan persekitaran (ketika itu saya baru memulakan hidup di M'sia).

Mak ayah mencadangkan kami berubat kampung. Kalau ikutkan saya, memang tidak ingin pergi berjumpa bomoh. Susah untuk saya percaya pada tok bomoh, perkara yang tidak masuk dek akal fikiran saya. Hubby, ma, abah dan mak lah yang bersusah payah membawa saya berubat ke sana-sini. Beberapa orang bomoh memberitahu perkara yang sama. Kata tok bomoh, si pulan tu nak kat hang sebab tu hang benci kat suami...

Walaupun 10 tahun telah berlalu, semua kenangan itu masih segar dalam ingatan saya. Pengalaman silam yang ingin di kongsi, mungkin boleh di jadikan iktibar.
Sekiranya terasa sesuatu yang aneh dalam rumahtangga, cepat-cepatlah cari punca dan teruskan ikhtiar. Jangan sekali-kali berputus asa.
Seelok-eloknya sebelum tidur pagarlah diri dengan ayat-ayat suci al-quran. Amalkan membaca ayat kursi, surah al-fatihah di ikuti dengan bacaan 3 kul dan di tutup dengan al-fatihah. Lebih elok jika berwuduk dulu sebelum tidur.

Harus di ingat, sesuatu perkara berlaku hanya dengan izin Allah. Kita sakit dengan izin Allah dan kita sembuh juga dengan izinNya. Hanya kepadaNya tempat kita mengadu dan meminta pertolongan. Yakinilah kita tidak akan diuji dengan sesuatu tidak mampu kita hadapi.

Saya bersyukur mendapat suami yang sangat penyabar dan penyayang. Kasih sayang hubby tidak pernah pudar. Ujian itu semakin merapatkan hubungan kami suami-isteri. Inilah hikmah atas dugaan yang berlaku. Semoga rumahtangga kami akan kekal bahagia ke akhir hayat.

Jul 18, 2008

Insan terpilih

Pandangan mata saya terarah pada seorang lelaki berkopiah putih yang sedang berurusan di kaunter Tabung Haji, Bandar Baru Bangi. Kebetulan saya juga ada urusan di sana.

'Bang itu Ustaz Farhan' bisik saya.

'Betul ke, Ayang tak salah orang? tanya hubby macam tak percaya.

Saya mengangguk pasti. Saya yakin dialah orangnya.
Selesai urusan beliau, hubby pergi mendapatkannya. Salam dihulur kami berkenalan ringkas. Kami menyatakan hasrat ingin membeli buku tulisan beliau. Ustaz meminta name card kami untuk dihubungi semula. Kata beliau buku itu tidak mendapat kelulusan dari KDN, sebab itu tiada di pasaran. Buku yang secara terbuka membicarakan isu murtad.

Saya melihat pertemuan ini suatu yang istimewa. Pertemuan yang tidak dirancang tetapi mungkin telah diatur olehNya. Besar hati kami dapat berjumpa dengan insan terpilih seperti Ustaz Farhan Abdullah.

Nota: Bagi sesiapa yang tidak mengenali Ustaz Farhan Abdullah, suatu ketika dulu beliau adalah seorang mubaligh kristian. Bapanya seorang ketua paderi yang amat berpengaruh. Berkat doa yang tidak putus-putus selama 8 tahun beliau telah berjaya mengislamkan bapanya serta ahli keluarga lain. 5 dari 10 buah gereja telah di tutup selepas pengislaman mereka.

Jul 8, 2008

Bunyi-bunyi aneh

Lama saya menyepi. Kebelakangan ini terlalu banyak perkara yang tidak di duga berlaku.

Rumah yang lama ditinggalkan terasa pelik (2 thn rumah kami dibiarkan kosong). Kedengaran bunyi-bunyi aneh dari rumah jiran-jiran sebelah kiri dan kanan. Bunyi budak bermain guli, budak berlari-lari, pintu dibuka ditutup dan dinding diketuk-ketuk. Bunyi apakah itu saya tertanya sendiri.
Memberanikan diri bertanya kepada jiran untuk mendapat kepastian tetapi kata jiran bukan bunyi dari rumah mereka. Perasaan takut menyelubungi diri, membuatkan perasaan saya terganggu. Tambahan lagi di rumah hanya tinggal kami berdua.

Mereka yang arif dalam ilmu agama memberitahu, bumi ini dikongsi oleh segala macam mahluk ciptaanNya. Apa yang saya dengari itu datangnya dari kehidupan mahluk Allah yang baik-baik belaka. Mahluk ini juga punya kehidupan mereka sendiri.

Kejadian ini membuatkan saya semakin mengagungi akan kebesaran dan kekuasaan Ilahi. Alhamdulillah kini perasaan saya kembali tenang.

Ya Allah hanya kepadaMu tempat kami berlindung dan meminta pertolongan. Lindungilah kami, ya Allah.

Jun 5, 2008

Abang tolong...

Saya terlewat 5 minit membuka tv, 8:05pm. Pembaca berita memberitahu harga terkini minyak RM 2.70 sen. Saya tertanya-tanya berapa harga asal? Samada sudah sedia dimaklumkan atau tidak, saya pun tak tahu.
Tertunggu-tunggu mereka memaklumkan semula, berapa sen kenaikkan dan bila akan dinaikkan. Tapi bukan itu yang mereka sampaikan. Alih-alih subsidi kerajaan berikan yang menjadi ulasan.

Lepas berita saya terus buka internet, nak cari maklumat manalah tahu ada info kenaikkan harga minyak di akhbar yang saya terlepas pandang. Baca kenyataan pak menteri, katanya harga minyak tidak akan naik dalam masa terdekat.

Terdengar pula berita dari radio IKIM, kata penyampai radio tarikh kenaikkan harga minyak berkuatkuasa tengah malam ini. Kenaikkan 40% sebanyak 78 sen.

Aaarggghhh... pak menteri nyata berbohong.

Harga minyak naik esok!

Saya pandang sebelah, Faris dah lena tidur. Terfikir macam mana nak pergi isi minyak sebelum pukul 12:00am ni.

Aaaaabang tolong...

Jun 4, 2008

Onara (K*nt*t)

'Maghrib lambat lagi ke Mama?' tanya Faris. Dari tadi duduk terhinguk-hinguk, sekejap ke kiri sekejap ke kanan.

'Kejap aje lagi,' jawab saya sambil betulkan telekung.

'Mama, kalau onara perlahan pun batal ke sembahyang?' tanya Faris berbisik.

'Ya batal, dari tadi Faris tahan onara ye,' saya meneka.

'Taklah,' Faris cuba menidak.

'Tapi onara tukan elok, kalau tak boleh onara susahlah Faris,' katanya lagi.

'Masa sembahyang aje tak boleh,' jawab saya. (Kedengaran azan berkumandang.)

'Dah, jom kita sembahyang! Lambat-lambat nanti Faris terk*nt*t pulak,' usik saya.

Tanpa lengah, Faris bingkas bangun.

May 26, 2008

Chisa na sekai (It's a small world)


Saya pernah menulis tentang Faris dan Iman. Dua sahabat ini walaupun jarang berjumpa tapi mereka mudah mesra.
Tahun lepas Iman pulang ke Malaysia. Farah, ibu Iman menghubungi saya beberapa jam sebelum mereka berangkat pulang. Semenjak hari tu kami belum berhubung.

Semasa mengambil Faris dari sekolah tengahari tadi, saya mendapat berita yang tidak di sangka-sangka. Terasa kecilnya dunia ni.

'Faris masih ingat Iman?' tanya saya gembira.

'Eeeemmmm,' Faris cuba mengingat.

'Alah Iman, anak aunty Farah!,' beritahu saya.

'Aaaa ingat,' kata Faris. Tersenyum lebar.

'Iman mungkin bersekolah di sini, kalau masih ada kouta,' kata saya.

'Kouta tu apa mama?' tanya Faris tak faham.

'Kouta tu, gakkou ni hairareru ninnzu ga kimararete...(bla-bla-bla)' saya terjemah.

'Oooo...,' Faris mengangguk-angguk. Cuba memaham.

'Seronokkan mama, kalau Iman dapat sekolah sekali dengan Faris,' sambung Faris.

May 21, 2008

Gakkou (sekolah)

"Mama, Faris teringin ke sekolah ni," kata Faris ketika kami melepasi kawasan sekolah kebangsaan yang terletak hanya beberapa minit dari rumah kami.

"Kenapa mama hantar Faris sekolah jauh? tanya Faris.

"Di sekolah Faris sekarang, murid tak ramai, bila murid tak ramai kelas pun tak bising, bila kelas tak bising cikgu mudah mengajar," terang saya satu-persatu.

"Dan cikgu pun tak garang," tambah saya lagi.

"Ha..aahh betul tu mama, Faris tak suka cikgu Matematik kat sekolah kebangsaan dulu," kata Faris.

"Kenapa?" tanya saya. Sengaja nak uji dia ingat atau tak pada peristiwa 3 tahun lalu.

"Sebab dia rotan Faris, lepas tu suruh Faris berdiri atas kerusi," jawab Faris.

"Bila bahasa Melayu Faris dah fasih, mama masukkan ke sekolah kebangsaan ye. Sebab tu Faris kena belajar betul-betul dengan Cikgu Azura," sambung saya lagi.

"Janji tau," kata Faris.

"Ye, mama janji." balas saya.

Nota: Cikgu Azura adalah guru tuition bahasa Melayu Faris sekarang.
3 tahun lepas Faris dihukum oleh cikgu Matematik hanya kerana dia tidak memahami arahan cikgu. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.
Sekarang Faris ke sekolah suka hati,
saya di rumah senang hati.

May 20, 2008

Bed time story

Suatu malam di kamar tidur, sebelum kami melelapkan mata.

"Nur tak faham sungguh la..." kata saya sambil berbaring sebelah hubby.

"Tak faham apa yang?" tanya hubby.

"Kenapa ye! sesetengah orang tu kalau nak bercerai, mesti gaduh-gaduh, burukkan pihak sana, burukkan pihak sini. Tak boleh selesai cara elok ke?" sambung saya.

"Nama lagi bercerai, kalau baik-baik tak jadi cerailah." balas hubby.

"Kita kalau pisah, pisah elok-elok ye bang." kata saya memeluk bantal.

"Isssssshhhh ayang ni, merepek ke lain pulak dia." hubby jeling saya.

"Manalah tahu jodoh kita tak panjang." saya berseloroh. Menarik selimut sejuk.

May 16, 2008

Futari kiri (Hanya berdua)

Hari ini suasana di rumah sunyi dan sepi.

Selepas menghantar Faris ke sekolah, rutin harian saya teruskan seperti biasa. Melakukan tugas-tugas rasmi surirumah, membasuh kain, mengemas rumah, menyapu sampah dan memasak. Ketika menyidai kain, jiran sebelah menyapa.
"Masih bercuti?", tanya jiran.
"Ye, cuti saya panjang lagi", jawab saya.

Saya gembira dapat melihat sendiri perkembangan Faris dalam tempoh bercuti sekarang ini. Setiap kali balik dari sekolah ada-ada saja yang akan diceritakannya. Kawan-kawan minta Faris cakap bahasa Jepun, kawan-kawan suruh Faris tulis kanji dan macam-macam lagi. Terbaru, dia asyik bercerita tentang kelas musik.

"Faris dah ada basic piano, Faris main piano sajalah", kata saya.
"Tapi mama, di sekolah piano cuma ada satu jadi sorang saja yang boleh main", balas Faris.
"Lagipun Faris dah tak nak main piano, Faris nak main violin pulak", tambahnya lagi. Memujuk kami belikan violin.

Tetapi hari ini tidak seperti biasa, Faris agak diam semasa balik dari sekolah tadi.

"Mama, bokutachi mata futari kiri ni nachattane (Mama tinggal kita berdua ajekan)", kata Faris. Matanya memerhati kereta yang bertali arus di jalan raya.
"Iyee", balas saya lalu memperlahankan radio.
"Papa ga inai to sabisyi kedo, mae he mae he susumou (Kalau papa tak ada sunyi tapi kita harus melangkah ke depankan)", kata Faris positif. Dia masih memandang ke luar.
"Faris doalah supaya papa cepat balik", sambung saya lagi.

Saya tahu, Faris rindukan papanya. Semalam papa di M'sia, hari ni di Jepun, minggu depan ke US, minggu seterusnya ke Kanada. Kami berjauhan lagi.
Hubby sedang mendaki puncak kerjaya.

May 11, 2008

Stress

Sebulan yang lalu.
Kami berbincang dengan penolong pegetua di sekolah berdekatan mengenai perdaftaran sekolah Faris. Beliau menasihatkan kami mencari alternatif di sekolah lain.

'Bilangan murid di sini ramai, satu kelas ada 47 murid' kata beliau.
'Ada cikgu yang tidak sempat ingat nama anak murid, keadaan ini mungkin akan menyukarkan proses penyesuaian anak encik' tambahnya lagi memberikan pandangan yang ikhlas.

Tiba-tiba datang seorang pengawas bersama seorang murid. Penolong pengetua menyuruh mereka berjumpa dengan cikgu yang berada di dalam pejabat. Jarak mereka hanya beberapa meter dari kami. Perbualan mereka jelas dapat saya dengari.

'Cikgu dia nak pinjam telifon' kata pengawas.
'Kamu nak telifon siapa?' tanya cikgu.
'Cikgu, saya nak telifon ayah, perut saya sakit' jawab budak itu.
'Kamu ni tiap kali ujian kamu sakit perut, pergi buat ujian dulu' cikgu mengarah.

Saya simpati melihat budak itu melangkah lemah meninggalkan pejabat. Saya kira dia budak tahun satu. Dari air mukanya saya rasa dia bercakap benar. Tetapi, mengapa cikgu tadi tidak cuba untuk memahami psikologi budak seperti ini.

Zaman sekarang kanak-kanak, kecil-kecil lagi dah stress.
Kesian mereka.

May 7, 2008

Trauma

Tangan dan kaki masih sedikit mengeletar, tetapi saya teruskan memandu. Saya dalam perjalanan mengambil Faris dari sekolah.
Sampai di sana, Faris sudah menunggu. Mulutnya tiba-tiba tergangga apabila melihat bahagian sisi depan kereta kami kemek.

'Mama eksiden tadi' saya memberitahu Faris.
'Eeee ye ke, mama tak apa-apa?' tanyanya.
'Mama ok, cuma mama masih terkejut' jawab saya.

Sampai di rumah saya masih menilik membelek kereta yang dibeli hasil dari penat lelah berkerja separuh masa, sewaktu zaman muda remaja dulu. Rasa sedih sangat.
10 minint kemudian hubby tiba di rumah.

'Ayang tak apa-apa?' tanya hubby sejurus memasuki rumah.
'Nur ok, cuma kereta kita kemek sikit' balas saya lemah.
'Kereta tu kita boleh baiki yang penting ayang selamat' kata hubby.

Kata-kata hubby menyejukkan jiwa saya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Sebenarnya saya kurang selesa memandu di Malaysia. Pandangan peribadi saya, hemah memandu orang di sini masih rendah. Lori menjadi raja di jalanraya. Motosikal cilok sana cilok sini sesuka hati. Kereta mewah nak tunjuk hebat dialah yang paling laju, kereta kurang mewah pun nak tunjuk handal, tak nak mengaku kalah.

Apr 2, 2008

Restu

14 tahun lepas...
'Engkau jangan terlampau mengharap, kalau parents aku tak terima engkau aku tak boleh teruskan...' kata-kata saya terhenti di situ.

'Kalau macam tu cuti semester nanti kita balik Malaysia, aku akan pergi jumpa mak ayah kau.' balas dia penuh yakin.

Itulah titik-tolak kehadiran hubby sebagai teman hidup saya. Hubby tahu kesudahan hubungan kami jika kedua ibubapa saya tidak dapat menerima dirinya. Bukan mudah memecahkan tradisi orang timur yang selesa menerima orang dekat dari orang jauh.
Dalam apa jua keadaan saya tidak akan sekali-kali membelakangkan kedua orang tua. Dari zaman anak dara lagi saya sememangnya begitu. Alhamdulilah hubby memahami keadaan ini.

Sehingga ke hari ini walaupun perancangan hidup terletak sepenuhnya di tangan kami, saya lebih tenang jika ke dua ibubapa merestui apa yang kami lakukan.

Saya percaya restu mereka membawa berkat.

Mar 25, 2008

Kawan sebaya

Farah, anak sulung Kak Aini dan En. Zakri. Senyumannya manis, perwatakannya matang, agak pendiam dan pemalu.
Saya bertanya kepada Farah, seronok tak tinggal di Tokyo?
Dia mengeleng-gelengkan kepala.
'Kenapa?' saya bertanya lagi.
'Di sini sejuk.' jawab Farah tersenyum.
Farah yang pemalu
Faris dan Farah kelihatan segan untuk berbual. Faris lebih cenderong bermain dengan adik-adik Farah, Nabila dan Naim. Mereka bermain kejar-kejar, satu rumah ditawafnya.

Alahai Faris... keletahnya lain sungguh di rumah Kak Aini.

Harapnya bila berjumpa lagi suatu hari nanti Faris malu untuk bermain kejar-kejar dan sembunyi-sembunyi lagi terutama kepada Farah yang sebaya dengannya.

Terimakasih kepada Kak Aini sekeluarga kerana sudi menerima kunjungan kami di Tokyo baru-baru ini. Juga buat Kak Hani dan Ros & sekeluarga kerana sudi meluangkan masa datang berjumpa dengan kami. Juga untuk Nash sekeluarga yang mempelawa kami ke rumahnya. Tak lupa buat En. Jasri sekeluarga kerana sudi menerima kedatangan kami.

Semoga pertemuan yang singkat ini tidak akan berakhir di situ sahaja.

Ragam anak-anak

Mar 17, 2008

Hadiah

Saya merasa agak luar biasa dengan rancangan percutian hubby kali ini. Lazimnya sebelum bercuti hubby akan berbincang itu dan ini dengan saya. Kebiasanya kalau hubby bayar hotel saya bayar duit minyak & tol, kalau saya belanja makan hubby bayar souvenir dan begitulah sebaliknya. Tapi tidak pada kali ini, semuanya hubby nak tanggung sendiri. Terasa pelik, saya melawak sendiri, menang loteri ke cik abang ni!

Sewaktu di sana barulah saya tahu... percutian kali ini adalah hadiah buat saya dan Faris. Kata hubby ini sebagai tanda terimakasih kepada kami yang setia menemaninya di sini.

Disneyland sungguh istemewa bagi kami.
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Tokyo Disneyland pada tahun 1995. Inilah tempat pertama saya dan hubby kunjungi setelah saya menerimanya sebagai teman istemewa. Masih saya ingat adik angkat kami, Lily yang menjadi pemandu pelancong. Kata Lily makanan di sana mahal jadi elok bawa bekal. Kami menurut saja, bertolak awal pagi dengan berbekalkan nasi goreng. Kami pantas ke hulu ke hilir bergerak sekaki mengikut Lily. Attraction pertama yang kami tuju ialah splash mountain di Critter Country.

Kali kedua saya ke sana ialah pada 2005. Kali ini kami membawa ma, abah dan adik-adik. Mereka datang ke Jepun sempena meraikan kejayaan saya menamatkan pengajian. Saya membawa mereka ke sana sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan, dorongan dan doa yang sering mereka panjatkan buat kami. Tanpa sokongan mereka kami tidak mampu sampai ke peringkat ini.

Sesungguhnya Tokyo Disneyland merakamkan memori indah dalam hidup kami, dan sudah tentu percutian kali ini juga memberikan satu kenangan yang berbeza. Keseronokan berganda, kami bermain sepuas-puasnya di disneyland & disneysea. Percutian yang meninggalkan seribu kenangan buat kami bertiga.

Terimakasih hubby atas hadiah ini.

Bertemu juga..

Kami sengaja memilih hari biasa untuk pergi ke Tokyo Disneyland, sebab nak lari dari bersesak-sesak dengan orang ramai. Tetapi tanggapan kami salah, mereka datang tidak memilih hari, orang ramai sekali. Rupa-rupanya bukan kami sahaja ibubapa yang memontengkan anak ke sekolah, orang Jepun pun ramai yang begitu.

Dalam ribuan manusia terasa mustahil Faris akan bertemu dengan Arif, Daniel & Husna. Semasa sibuk bergegas dari satu tempat ke tempat lain, kami terserempak juga akhirnya. Anak-anak seronok sakan.


Mar 4, 2008

Ada temuan

--Dua minggu lepas--
'Kenapa mama masak banyak-banyak ni?' tanya Faris.
'Kawan papa nak datang malam nanti.' jawab saya sambil tangan menumbuk bawang.
'Berapa orang, ada kawan Faris tak, kenapa mereka datang mama? tanyanya lagi.
'Tiga orang tapi kawan Faris tak adalah, mereka datang nak bincang pasal robot dengan papa.' terang saya. Faris kelihatan hampa.

--Minggu lepas--
Kami menerima jemputan BBQ dari Shariman & keluarga di Mie. Dialah tetamu kami dua minggu lepas. Selain BBQ banyak lagi hidangan yang disediakan. Bila berjumpa dan berkumpul begini anak-anaklah yang paling seronok. Ramai kawan-kawan Faris di sana.

Kata Faris sebelum kami bertolak balik 'Mama minggu depan hari Ahad kita datang sini lagi ye, Faris dah janji dengan Husna dan Daniel.'
'Eeeemmm... mama rasa sebelum Ahad, Faris dah boleh jumpa mereka di Tokyo!' jawab saya. Berkerut dahi Faris kebinggungan.

--Minggu ini--
Saya sengaja merahsiakan percutian kami ke Tokyo Disneyland dari pengetahuan Faris. Masak benar dengan perangainya yang overexcited. Jika di beritahu awal mulalah dia berangan-angan, jenuhlah nak melayan gelagatnya. Yang paling saya tidak tahan dia akan bersengkang mata, tak nak tidur malam semata-mata menanti hari kami bertolak.
Tambahan lagi jika dia tahu kawan-kawan dari Mie pun pergi sekali. Secara kebetulan dan tanpa di rancang tarikh kami ke Tokyo sama dengan tarikh keluarga Shariman ke sana. Kami mengatur janji berjumpa lagi. Apalah reaksi Faris bila bertemu Arif, Husna dan Daniel di Disneyland nanti..

Jika ada temuan walau dalam apa bentuk sekalipun pasti diketemukan lagi.

Faris & Daniel

Feb 25, 2008

Atarasyi tomodachi (kawan baru)

Faris seronok mendapat kawan baru dari Mongolia, namanya Tuguruguru. Keluarga Tuguruguru baru seminggu berpindah ke sini, rumah mereka bersebelahan dengan kami. Faris dan Tuguruguru satu sekolah. Di sini budak-budak ke sekolah berjalan kaki dalam kumpulan yang sudah ditentukan oleh pihak sekolah. Kumpulan ini dibahagikan mengikut kawasan kediaman masing-masing. Usia Tuguruguru setahun tua dari Faris tetapi dia masih tidak fasih berbahasa Jepun.

Saya berpesan kepada Faris ‘Faris kena tolong Tuguruguru, masih banyak perkara yang dia tidak tahu.’

‘Faris tahu Mama, Faris faham sangat perasaan Tuguruguru.’ balas Faris.
Telahan saya Faris mungkin teringatkan dirinya ketika baru masuk sekolah dulu-dulu.

‘Tapi Faris serba salah.’ Faris bersuara perlahan.

‘Kenapa?’ tanya saya ingin tahu.

‘Fira kata dia tak suka Faris berkawan dengan kawan baru.’ jawab Faris menundukkan kepala.

Faris kelihatan runsing. Saya tahu dia bersimpati dengan Tuguruguru dan pada masa yang sama ingin menjaga hati Fira.

Feb 18, 2008

Doa

Dari tadi Faris asyik merungut kami tidak singgah Jusco membeli game kesukaannya. Saya membiarkan hubby melayan Faris, kepala saya pening berdenyut-denyut.
‘Kalau tak beli hari ni, tentu pokemon game kad tu habis!’ kata Faris sebelum masuk tidur.

‘Pagi esok kita pergi beli game kad tu. Malam ni Faris minta doa banyak-banyak dengan Allah.’ kata hubby sambil menyelimutkan Faris.

‘Tapi Faris tak tahu macam mana nak minta, boleh Faris doa dalam bahasa Jepun tak papa?’tanya Faris.

‘Boleh, Allah faham semua bahasa, tentu Allah dengar doa Faris.’ jawab hubby cuba menenangkan hati Faris.

Keesokkan harinya pagi-pagi lagi Faris bersiap untuk ke Jusco. Saya tidak ikut sama. Badan masih tidak sihat.
Balik dari Jusco dia terus mendapatkan saya lalu berkata Mama, kamisama te hontoni boku no negai koto kanaete kurerudane (Mama, Allah betul-betul makbulkan doa Faris). Saya lihat lebar senyumnya boleh sangkut sampai ke telinga.

Feb 13, 2008

Dissertation

Alhamdulillah...
The 3 years work finally approaching to its goal.

Dr. Ph.D is not the end point of success, it's a ticket for future excellent.

To my love, this is just the beginning.

大変御苦労様です、後もう少しですね。。。