Pelangi petang
Malam tadi saya bermimpi, pukul berapa saya tak perasan kerana sedap sangat tidur dalam cuaca sejuk begini. Pagi tadi baru saya ingat semula. Saya mimpikan seorang rakan blogger. Seseorang yang dulunya kerap berkunjung ke sini. Boleh dikatakan setiap entri saya akan ditinggalkan komen. Di dalam mimpi itu kami berbual dan bercerita seperti satu keluarga. Kenapa saya bermimpikan dia? Saya pun tak tahu!
Dari pembacaan blog saya suka mengutip nilai-nilai murni hasil tulisan rakan-rakan. Jika ada yang tidak berkenan di hati saya buang ia jauh-jauh dari kotak fikiran. Begitu juga dalam memberi komen, tidak pernah terlintas untuk menguris hati dan perasaan apatah lagi mengkritik keperibadian seseorang atau mencetuskan kontroversi. Saya amat sukakan suasana damai dan harmoni dalam kehidupan harian.
Dunia blog menemukan kita dengan bermacam orang dan pelbagai cerita. Kewujudan rakan-rakan di sini boleh diibaratkan seperti pelangi. Setiap kali mereka datang ianya cukup mengembirakan. Suasana menjadi cerah dan menceriakan, tetapi munculnya tidak lama. Hilangnya tanpa sepatah kata. Perginya dengan sekelip mata. Namun mereka cukup istemewa, seistemewa dan seindah pelangi petang.
|