Nov 12, 2008

Doa ibu

Suami saya keturunan Jawa. Mak mertua saya masih pekat ngomong Jawanya. Orang Jawa kalau bercakap nampak agresif, kadang-kadang tu nampak macam nak bergaduh (bagi saya yang tidak memahami bahasa mereka). Tetapi mereka berhati lembut. Mereka juga suka memberi kata-kata nasihat.

Masih saya ingat lagi ...
'Nur, duit tu jimat-jimat, kumpul untuk pergi haji. Simpan sehari seringgit lama-lama jadi banyak, boleh beli tanah, beli rumah...
Kalau ada sesuatu hajat untuk anak buatlah puasa sunat pada hari lahirnya. Bagi minum air bacaan yasin pada Faris. Semasa Faris nak tidur baca dan hembuskan ayat kursi ke telinganya.
Selalu doa untuk Faris, minta hatinya terang. Elok amalkan puasa Isnin Kamis, sambil-sambil tu berniat untuk dia...' pesan mak dalam pelat bahasa melayu.

Setiap kali berjumpa mak, itulah nasihat yang selalu disampaikan. Sekarang ingatan mak kian tumpul, sekejap ingat-sekejap lupa. Tapi kata-kata itu tidak pernah lucut dari bibir seorang ibu tua yang sudah lanjut usianya.

Minggu depan Faris akan menghadapi peperiksaan. Mungkin inilah masanya saya mencuba 'resepi' dari mak mertua.
'Ya Allah ya tuhanku... jadikanlah Faris seorang anak yang baik, anak yang menyenangkan hati kami baik untuk kehidupan dunia mahupun akhirat. Lapangkanlah dadanya, terangkanlah hatinya agar dapat dia menerima dan memahani ilmu yang di pelajari, ilmu dunia dan ilmu akhirat. Amin ya rabbal alamin', saya selalu berdoa.