Dec 13, 2007

Pilihan hati

Perbualan yang telah dialih suara. Fira adalah rakan sebaya Faris, satu sekolah dengannya.

Dari dapur saya dengar Faris berkata 'Papa, Faris nak kahwin dengan Fira lah.'

'Apa Faris cakap?' reaksi hubby terkejut.

'Faris nak kahwin dengan Fira bila besar nanti.' ulangnya lagi.

'Dulu Faris kata suka budak perempuan yang comel.' sampuk saya sambil tangan sibuk membasuh pinggan.

'Walaupun Fira tak comel tapi dia baik hati Mama.' jawab Faris.

'Tapi Fira orang Indonesia.' tambah hubby lalu melangkah masuk ke bilik Faris.

'Malaysia dan Indonesiakan lebih kurang sama, lagipun Fira dah cakap dia nak ikut Faris tinggal di Malaysia.' terang Faris lagi.

'Faris jangan pandai-memandai dalam perkara ni, kena bincang dulu dengan papa dan mama.' hubby bersuara nadanya serious.

'Haikkkkkkkk' jawab Faris mengangguk lemah.

Ketika hubby keluar dari bilik Faris kami saling berpandangan. Masing-masing menahan gelak. Kami ketawa mengilai di dalam perut. Anakku sudah mula berfikir macam-macam...

Dec 10, 2007

Autum 2007

Dalam banyak-banyak musim saya sangat menyenangi musim luruh. Damai memandang daun-daun yang kuning kemerahan, udara segar dan nyaman. Suhunya pula tidak terlalu panas dan tidak terlampau sejuk.

Namun musim luruh tahun ini telah berlalu pergi.
Udara semakin dingin. Musim sejuk datang lagi.
Musim datang silih berganti.

---Sayounara Autum 2007---

Dec 6, 2007

Sillatulrahim alaf baru

Hubby kata ‘Awal sangat ayang buat temujanji dengan Prof. tu’.

Memang awal, sebulan awal dari tarikh saya pulang ke Malaysia.
Saya lebih senang membuat perancangan sebegini kerana tidak suka terburu-buru di saat akhir.
Sehari sebelum bertolak ke KL saya menelifon Prof. mengesahkan kedatangan kami pada keesokkan hari.


Isnin, 26 Nov. 2007 sekitar jam 10:15 am kami mendarat di KLIA. Kami terus bergegas ke Uitm Shah Alam. Tempat di mana hubby bakal berulang-alik setiap hari apabila kembali ke Malaysia kelak.

Kami menuju ke bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS). Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Uitm Shah Alam. Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim pun sudah menanti, kedatangan kami di sambut ceria. Kami teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan beliau. Sesekali Prof. berseloroh dengan hubby. Jika diamati dengan lebih mendalam Prof. secara tidak lansung menyelitkan sesuatu yang jelas signifikan dalam kata-kata beliau itu. Kami berbual santai.

Prof bertanya‚ ‘Kenapa nama Faruha?’.
FA untuk Faris, RU untuk Ru*ie dan HA untuk Ha*a*i*h jika digabungkan jadilah FaRuHa.’ terang saya.

Kemudian Prof. bertanya lagi, ‘Faris tak nak adik ke?’
Sebelum mengangguk pasti, Faris sempat mencuri pandang kearah saya. Saya melemparkan senyuman kepada Faris. Senyuman yang pastinya terkandung seribu makna. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Kami meninggalkan perkarangan Uitm ketika azan zuhur berkumandang.
Perjalanan diteruskan, hubby memecut memasuki highway utara-selatan menuju ke Melaka. Di dalam kereta sambil melayan hubby bersembang saya membelek beberapa naskah buku bertandatangankan Prof. Sudah tidak sabar rasanya untuk membaca buku Travelog Haji tulisan beliau.

Tidak pernah saya terfikir dunia blog mampu menjalinkan sillaturahim dalam bentuk yang sebegini.

Nov 16, 2007

Ragam anak

Mou Natsumi-chan to naka yoku sinai... (Tak nak kawan dengan Natsumi-chan lagi)’ kata Faris memuncungkan mulut.

‘Eeee kenapa ni?’ tanya saya.

Boku ni misete to ittakedo misetekurenaino (Tunjuklah pada saya, dia tak nak tunjuk).’ kata Faris masih dengan muka tak puas hati.

‘Faris nak tengok apa?’ tanya saya pula.

Dakara...misetekurenai kara wakaranaino! (Dia tak tunjuk, manalah Faris tahu!).’ jawab Faris separuh benggang.
Dalam hati ye tak ye jugak soalan saya tak logik.

‘Faris boleh minta lain kali, tentu dia tunjukkan.’ saya cuba memberi cadangan.

Boku ha, mou isyouni asobanai to itta (Faris dah cakap tak nak kawan dengan dia lagi).’ balas Faris.

‘Laaa... kenapa Faris cakap macam tu, tak baik cakap kat orang perempuan macam tu tau. Faris kenalah pandai ambik hati Natsumi-chan. Lelaki kena sabar lebih dari perempuan tau. Tentu ada sebab dia tak nak tunjuk benda tu pada Faris.
Dah malam nanti mama nak Faris bincang benda ni dengan papa’. terang saya panjang lebar, tak bersetuju dengan cara Faris.

Mou sono hanasi osyimaini sitai...(Faris tak nak ingat lagi benda ni).’ katanya menutup cerita. ‘Mama berapa hari lagi kita nak balik Malaysia?’ sambungnya lagi. Saya lihat lebar senyumnya.

Budak ni...lain yang kita cakap, ke lain pula fikiran dia.
Begitulah Faris. Dia tidak suka memikir atau mengingat sesuatu yang tidak mengembirakannya, akan segera dialih pada perkara lain.

Nov 9, 2007

Flying high...




Nice view of mount Fuji (Japan's highest mountain 3776 meters).

Nov 1, 2007

Semoga dia tabah

‘Apa yang Faris fikir tu?’ tanya saya pada Faris yang dari tadi dilihat berkhayal dan sesekali tersenyum.

Dia masih tersengeh, tanpa menjawab pertanyaan saya.

‘Bagi tahulah mama.’ kata saya separuh merayu.

Eeeeeetone, papa ga nanno omocha wo kattekureru kana to ima kangaeteiruno (Eeemmm Faris sedang fikir apa agaknya mainan yang papa belikan).’ jawabnya malu-malu.

‘Mainan lagi...! kan Faris dan ada banyak mainan.’ balas saya sengaja mengusik.

Iiiinoo!... ne mama boku sugoku uresi no, papa mou sugu kaerukara. (Biarlah!... Mama, Faris seronok sangat kerana tak lama lagi papa balik).’ jawab Faris cuba mengubah topik.

Saya tersenyum melihat gelagatnya.
Minggu depan saya akan tinggalkan Faris. Selama seminggu hubby akan mengambil-alih segala tugas menguruskan rumahtangga. Faris tentu akan terasa sunyi kerana tiada mama yang akan mengingatkannya tentang beg, kasut, bekal, homework dll.

Sebelum terlelap dia berkata, 'tak seronoklah bila papa balik, mama pula yang pergi'. Saya baring di sisi menemaninya, merenung wajahnya sehingga dia tertidur. Bagi Faris, hidupnya tidak akan lengkap tanpa kami berdua. Tiba-tiba perasaan bertukar hiba dan sedih. Tanpa di sedari air jernih mengalir keluar dari kelopak mata.
Bukan sedih kerana Faris tapi saya terkenangkan anak-anak sebaya Faris. Raut wajahnya mengingatkan saya pada kanak-kanak lain yang di duga pada usia semuda ini. Wajah anak-anak ini muncul satu-persatu. Mereka masih memerlukan kasih-sayang dan belaian kedua ibubapa. Tetapi takdir mengubah segalanya, ayah tempat bergantung dijemput Ilahi seawal umur 38 tahun akibat kanser. Terlalu kecil untuk mereka memahami realiti hidup ini, tetapi saya yakin takdir ini akan menjadikan mereka lebih kuat dan matang berbanding kanak-kanak lain seusia dengannya.
“Ya Allah, berilah kekuatan buat ibu muda ini dan anak-anaknya menghadapi dugaan serta ujian Mu”.
Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah buat arwah dan mendoakan keluarganya.

Oct 29, 2007

Jati diri

Saya mengeleng-geleng kepala membaca artikel di dada akhbar. Kita masih lagi tercari-cari sesuatu yang masih samar dan kabur. Sedangkan negara-negara luar telah lama kukuh dan mantap dengan sistem pendidikan mahupun penyelidikan.

Keseronokan menuntut ilmu di bataskan dengan kongkongan bahasa. Bukan menidakkan kepentingan bahasa kedua, tetapi kerana terlalu terdesak dalam mengejar wawasan dan sasaran negara, kita terlupa sesuatu!

Yang berduit boleh melakukan apa saja bagi memenuhi keperluan dan tuntutan arus perubahan kehidupan bagaimana pula dengan mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang! Kita sengaja mencicirkan nasib anak bangsa di luar bandar. Kelak mereka terasing di bumi sendiri.

Anak-anak hari ini menimba ilmu dalam dilema pak menteri dan pembuat dasar. Jika ini masih berterusan, jati diri anak-anak ini akan semakin hilang.

Oct 25, 2007

Home alone

Untuk tempoh dua minggu ini saya minta kebenaran bos balik awal pada hari Rabu dan Jumaat. Pedal minyak ditekan kereta dipecut laju, saya agak tergesa-gesa pulang ke rumah.

Ting-tong, ting-tong... loceng rumah dipicit.

'Mama osoi ne, simpaisitetayo (Lambatnya mama balik, bimbang Faris)' ayat pertama yang keluar dari mulut Faris selepas membuka pintu.

'Sorry, mama banyak kerjalah sayang' jawab saya sambil merangkul bahunya berjalan menuju ke ruang tamu.

'Lama ke Faris tunggu mama? Faris buat apa tadi?' soal saya bertindih-tindan.

'Niji ni uthi ni tsuitayo, sono ato ha... (Faris sampai rumah pukul 2 lagi, lepas tu...)' Faris mematikan ayat di situ sambil senyum tersipu-sipu seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

Saya tidak bertanya lanjut memandangkan masa telah suntuk, cepat-cepat suruh Faris bersiap untuk pergi tuition.

Pada malamnya, semasa mencapai beg obento (bekal) Faris untuk dibasuh, terasa ringan sekali. Dibelek-belek di dalamnya bekal dan botol air tak ada.
'Tertinggal di sekolah ke semua benda tu!' saya terfikir. Nak bertanya pada tuan punya diri dia sudah tidur, nak dikejut kesian pulak.
Saya kembali ke dapur, terlihat di dalam rak pingan-mangkuk semuanya ada tersusun di situ !

Di waktu ketiadaan hubby, Faris selalu melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuatnya.

Oct 13, 2007

Salam Lebaran

1 Syawal 1428 Hijrah bersamaan 13 Oktober 2007
Salam Aidilfitri
dari kami sekeluarga
Maaf Zahir & Batin
Semoga bertemu lagi di ramadhan & syawal tahun hadapan.

Oct 2, 2007

Pangkat dan darjat

Gambar hiasan

Beberapa minggu lalu saya telah menghantar e-mail kepada bos. Mengirim berita dan bertanya khabar. Tetapi tujuan utama saya ingin mengatur temujanji dengan beliau bila balik ke Malaysia nanti.
Sehingga hari ini tiada balasan yang diterima. 'Sibuk ke, tidak sihat ke, atau beliau tiada di pejabat' hati ini berteka-teki.

Hari ini, buat sekian kalinya saya membuka webmail pejabat, dari kotak inbox saya tahu bos ada, beliau bukan outsation. Cuma, saya baru sedar bos telah dinaikkan taraf, dari Dr. A kepada Datin A. Staf lain memanggilnya Datin, sedangkan saya pula masih membahasakannya Dr. A.

Hati tertanya-tanya mungkinkah ini penyebabnya? Haruskah diperbetulkan ejaan 'Dr.' kepada 'datin' dalam e-mail susulan selepas ini! Tapi dari dulu lagi saya memanggilnya Dr. A !

Mungkin ada segelintir dari kalangan masyarakat kita yang mementingkan gelaran. Tanpa di sedari ianya akan menjarakkan hubungan, memisahkan kedudukan dan yang paling jelas mengkastakan masyarakat.

Teringat saya para entri 'melawan perasaan' yang saya kira boleh di kaitkan dengan kejadian ini, perkara ini nampak kecil tapi di mata saya ianya terlalu signifikan (meminjam kata-kata Prof. KamiI).

Di pejabat saya di sini, tak kira pangkat serta darjat kami di panggil 'cikgu'!

Sep 29, 2007

Adam dan Hawa

'Mama ok ke? sapa Faris apabila melihat saya lama mengelamun.

'Mama ok, Faris pergi main kat sana ye' jawab saya ringkas.

Dari tadi bagaikan putaran video, satu-persatu kisah rumahtangga singgah di benak ini. Fikiran saya melayang-layang memikirkan nasib kaum Hawa.

---Kisah R---
R rakan sepejabat. Kami selalu berbincang hal kerja. Biasalah bila berbual meleret-leret dari satu topik ke topik yang lain, dari cerita kerja ke cerita keluarga. Katanya, saya beruntung dapat menghabiskan pelajaran dalam tempoh yang di rancang, punyai suami yang memahami, tidak seperti dirinya. Hati berdetik lain macam ayat R ni. Saya cuba menyelami apa yang tersirat di sebalik kata-katanya itu.
Rupa-rupanya R punya masaalah peribadi. Dulu sewaktu dia menyambung pelajaran di luar negara, suaminya hanyut... lupa diri, lupa isteri, lupa tanggungjawab. R terkial-kila sendirian, mana nak tumpukan fikiran pada pelajaran, mana nak fikirkan masalah suami sedang dirinya ketika itu berbadan dua. Sewaktu R mengadai nyawa melahirkan anak pertama pun suami tiada di sisi. Bayi yang baru berusia 3 hari terpaksa dikendongnya menaiki kapal terbang. R mengambil keputusan pulang ke tanahair. Impian R mengengam segulung ijazah hancur berkecai di tengah jalan.

---Kisah S---
S cantik orangnya. Mukanya ada iras-iras pelakun hindustan. S seperti R, juga menyambung pelajaran di negera orang putih. Bezanya dengan R, suami S tidak ikut S sekali ke sana. Suaminya sekejap di Malaysia sekejap menjengok S di oversea.

Di mata sanak-saudara suami S seorang yang penyayang. Mereka tidak pernah terlintas perkara yang bukan-bukan berlaku di dalam rumahtangga S.
Di takdirkan dengan kuasa Allah suatu hari tembelang suami pecah. SMS mendayu-dayu yang dihantarnya kepada perempuan lain dijumpai oleh salah seorang ahli keluarga. Adik-beradik semua terkejut! Serba-salah mereka dibuatnya. Hendak beritahu pada S takut menganggu pelajaran pula, maklumlah S di tahun akhir pengajian phD.

Ini adalah cerita benar di dalam seribu satu macam kisah rumahtangga. Kisah ibu yang berkerjaya.

Bagaimana pula dengan ibu-ibu yang bergelar surirumah, yang setia menjaga makan, minum dan pakai keluarga. Adakah pengorbanan yang mereka lakukan mendapat penilaian serta penghargaan yang setimbal dari si-suami. Ramai kaum ibu yang memperjudikan nasib diri demi kebahagian keluarga. Ada di kalangan mereka yang berpengalaman berpesan kepada saya 'Jangan sekali-kali meletakkan sepenuh kepercayaan pada lelaki'.
Ramai perempuan yang menjadi mangsa kealpaan lelaki. Kaum Adam berikan pelbagai sebab dan alasan untuk kepentingan diri sendiri. Mereka TERLUPA sebalik keseronokan yang dicari, segalas TANGGUNGJAWAB serta AMANAH yang AMAT BERAT menanti mereka. Terdayakah kaum ini memikulnya ?????
Hakikatnya, berapa ramai suami yang sedar tugas mendidik anak, isteri dan mencorak kehidupan sesebuah keluarga terletak di bahu mereka.

Sehingga cacatan ini ditulis saya masih mengingati seseorang yang hatinya telah robek dan kepercayaannya telah punah di landa onak-badai kehidupan rumahtangga. Bagaimana untuk saya mengembalikan semangatnya yang telah hilang !

Sep 25, 2007

Sillaturahim

Warga Malaysia di ZurichMakan-makan...terima kasih tuan rumah

'Ayang dah lama tak update blog' kata hubby semasa berbuka tadi.

'Ye ke bang...' jawab saya sambil cuba mengingat kembali tarikh akhir saya menulis.

Sebenarnya sudah beberapa kali saya menyuarakan keinginan untuk 'bersara' dari tugas sampingan ini. Tetapi hubby selalu membantah. Jika bukan kerana dorongan hubby rasanya 'Omoide' ini sudah lama berkubur.
Baru-baru ini sebelum hubby berangkat ke Switzerland dia bertanya 'Ayang tak ada rakan blogger di sana?'.
'Eeeemm...' reaksi saya spontan. Saya bukan blog mania jauh sekali mempunyai ramai rakan blogger. Bukan kerana malas untuk bertandang ke blog kawan-kawan. Cuma saya sibuk dengan tugas tetap... kerja dan rumahtangga (berkata di dalam hati ini baru anak seorang!). Tetapi kerana tidak ingin menghampakan suami, sehari sebelum hubby berangkat saya merayap di alam cyber mencari kenalan di bumi Swiss.

Akhirnya saya terjumpa dengan seorang hamba Allah. Salam perkenalan saya hulurkan. Niat di hati ingin mendapatkan beberapa info buat hubby mencari makanan/restauran halal dan tempat survenior di sana.
Walau antara kami tidak pernah bersua apatah lagi mengenali antara satu sama lain, hubungan sillaturahim ini amat senang terjalin. Dia sekeluarga dengan murah hati menjemput hubby berkunjung ke rumahnya. Kecil tapak tangan ngiru kami tadahkan. Hubby amat berbesar hati menerima pelawaan mereka.

Saya rasakan inilah keistimewaan yang ada pada rumpun bangsa kita, yang mungkin tidak ada pada masyarakat lain. Mudah melayan tetamu dan tidak lokek masa. Selepas menjamu selera mereka membawa hubby berjalan-jalan di sekitar bandar Baden. Bagi kami yang seringkali bermusafir diri, layanan sebegini, jasa dan budi baik yang mereka berikan akan sentiasa kami kenang.

Terimakasih kepada
Ann sekeluarga, abang Arif & isteri dan buat semua warga Malaysia di Zurich.

Ole-ole dari keluarga Ann...arigatou

Comel sangat...Ann's junior

Sep 13, 2007

Salam ramadhan

Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA
kepada semua.

Semoga ramadhan kali ini akan di limpahi dengan rahmat dan
semoga segala amalan kita akan di berkati. Insyaallah.

Maaf zahir batin kami pohonkan seandainya kami pernah
terkasar bahasa,
terlajak kata,
terlepas bicara.

Sep 10, 2007

Jaga mama...

Saya mengagahkan diri menyediakan sarapan pagi.
Menu pada pagi hujung minggu cukup ringkas.. toasted mix-vegetables with a cheese topping. Satu untuk saya dan satu untuk Faris. Tetapi saya hanya menjamah buah-buahan, tak terasa nak makan roti, sakitnya perut ini... sakit rutin bulanan orang perempuan.

'Mama nak baring, Faris makan ye.' kata saya lalu melangkah ke bilik untuk berehat.
'Ok.' balas Faris ringkas.
Dia mungkin tak perasan saya sakit perut.

Sebentar kemudian terdengar dia membasuh tangan. 'Dah siap makan kot Faris ni' bisik hati saya. Teringatkan kain baju di dalam mesin basuh yang masih belum diangkat, saya memanggil Faris.
'Faris tolong mama angkat kain, Faris letak aje di situ nanti mama sidaikan.' minta saya.
'Ok mama, biar Faris sidaikanlah.' jawab Faris pula.
'Arigatone.' balas saya sambil tersenyum.

Dibelek-belek seluar dan bajunya, tentu dia berfikir macam mana nak sidai ni ! Saya hanya memerhatikannya. Tersenyum sendiri melihat pertama kali anak lelaki saya melakukan kerja menyidai kain, sudah pasti tidak sekemas mana. Tetapi hati ini amat gembira kerana dia cuba meringankan kerja saya.

Belum selesai menyidai kain, tiba-tiba dia ke dapur. Bunyi pinggan mangkuk berdentam-dentum di dalam sink.

'Faris buat apa tu?' laung saya dari dalam bilik.
'Tadi Faris lupa nak basuh pinggan mama.' jawap Faris.


Tak kuasa saya nak menghalang.
Sebentar kemudian Faris datang lagi menyambung kerja menyidai kain.


'Faris letak ajelah di situ, nanti bila mama dah ok mama buat.' kata saya lagi sambil menekan-nekan perut yang sakit ini.
'Mamakan tak sihat, biar Faris buatlah, Faris dah janji dengan papa nak jaga mama bila papa tak ada.' jawab Faris.


Setiap kali sebelum hubby pergi meninggalkan kami, dia akan berpesan kepada Faris. 'Faris lelaki, lelaki kena jaga perempuan, jaga mama ye'.

Hari ini buat pertama kalinya Faris menunaikan janjinya pada papa. Faris telah mengambil-alih tugas yang papa selalu lakukan di waktu saya begini.

Sep 3, 2007

Happy birthday 3-9-'07

Happy birthday to me!
Birthday boy

Faris & papa favourite menu

Seperti tahun lalu kami menyambut hari lahir Faris awal sehari. Semalam pagi-pagi lagi saya sudah masuk dapur, memasak menu kegemaran Faris dan hubby. Saya mulakan dengan memasak kuahnya dahulu, gulai kuzi. Selepas itu barulah kerja menebar jala. Kemudian telifon pak 'Aoki ' suruh hantarkan pizza, katanya sibuk-sibuk selepas 1 jam baru boleh sampai. Merajuk dengan pak 'Aoki' kami telifon pula pak 'Domino'. Pak 'Domino' tidak menghampakan. 30 minit kemudian dia tiba.

Sementara itu birthday boy pula, esok nak sekolah hari ni lah baru sibuk-sibuk nak siapkan kerja sekolah. Hubby menemani Faris sambil mengemas-gemas barang yang akan dibawanya malam nanti. Katanya sebelum pergi biarlah dia habiskan masa bersama Faris. Tahun ini sudah 2 kali berturut-turut hubby tiada pada hari lahir Faris.

Hubby selalu menyuarakan perkara ini kepada saya, katanya kalau boleh dia mahu Faris terus begini. Terus kekal dalam dunia kanak-kanak. Saya mentertawakan hubby... sesuatu yang tak masuk dek akal kata saya.
Tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati ini saya mengharapkan perkara yang sama... saya ingin Faris terus manja dengan kami, ingin melihat dia terus main perang ala ultraman dan raksaksa dengan papanya, dan saya ingin dia terus mengadu 'Mama perut Faris sakit.. mama kepala Faris pening.. mama Faris sakit bird..' dengan saya seperti yang dilakukannya sekarang.
Besar sudah anak kami. Cepat sungguh masa berlalu, sudah genap lapan tahun usianya.

Sep 1, 2007

Early exposure for our next generation

Snapshots of the robots exhibition during The 13th International Conference on Advanced Robotics (ICAR 2007) and The 16th IEEE International Symposium on Robot & Human Interactive Communication (RO-MAN 2007) Jeju, Korea.

Summer vacation in Jeju Island, Korea

Lotte Hotel

Scenery from Seongsan Iluchulbong Tuff Cone
(World Natural Heritage)
Jeju Folk Village

Inside submarine in Marado Island

Aug 21, 2007

Tebarkan sayapmu

Jam menunjukkan pukul 6:15 pagi.
Hubby mengucup dahi Faris yang sedang lena tidur sebelum dia melangkah pergi meninggalkan kami.

'Hati-hati bang, tunggu kami di sana ye' pesan saya kepada hubby.

Saya hanya mengiringi pemergian hubby dari beranda rumah sehingga susuk tubuhnya hilang dari pandangan. Di dalam hati memanjatkan doa agar urusan hubby dipermudahkanNya.
Beginilah keadaan yang bakal saya lalui, hampir setiap bulan saya dan Faris ditinggalkan. Bermula Ogos hubby ke Korea, September ke Switzerland, Oktober ke Amerika dan November balik ke Malaysia. Saya redha dengan keadaan ini kerana di mata saya hubby mampu pergi lebih jauh, dan saya yakin suatu hari kelak hubby mampu mencipta nama di dalam bidangnya.

Masih saya ingat 9 tahun lepas pada 1998, bukan main susah lagi memujuk hubby supaya menyambung pelajaran bersama (ketika itu dia belum bergelar suami). Berbagai alasan hubby berikan. Saya tahu minatnya lebih kepada berkerja dari belajar. Kerana menghormati pendirian masing-masing kami memilih jalan sendiri, saya menyambung master di sini dan hubby berkerja di Malaysia. Beberapa minggu selepas diijabkabul, bak kata orang inai masih merah di jari, kami terpaksa berjauhan. Berpisah seketika semata-mata ingin mengejar cita-cita. Kami bersatu kembali pada tahun 2000.
Pada akhir Disember 2001, saya membuat kejutan lagi. Masih terbayang raut wajah ma dan abah bila saya menyuarakan hasrat menyambung PhD. Soalan spontan dari mulut mereka 'Ann dan Faris macam mana pula?'.
Ma dan abah bimbang kami akan hidup berjauhan lagi.
Sebenarnya dalam diam saya sekali lagi cuba menjerat hubby untuk sambung belajar. Mungkin serik dengan pengalaman berpisah dulu, akhirnya hubby setuju mengikut saya menyambung pelajaran. Di situlah bermulanya titik-tolak pengembaraan hubby di bidang robotic & mechatronic. Ilmu yang semakin dicari semakin ingin diterokai.
Berkat usaha dan doa akhirnya kami sama-sama berjaya menamatkan pengajian pada Mac 2005. Berlainan dari sebelum ini saya tidak lagi menyuruh hubby terus menyambung pelajaran. Biarlah hubby sendiri yang tentukan hala tuju kerjayanya. Suatu hari, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang hubby menyuarakan keinginan untuk menyambung pelajarannya lagi. Saya terlalu gembira mendengar berita itu. Tetapi realitinya, ianya satu keputusan yang harus kami bayar dengan sebuah pengorbanan. Kami terpisah lagi. Hidup berjauhan amat menguji ketabahan hati.

'Ohayooo mama' tiba-tiba Faris memecahkan lamunan saya dari kenangan lama.
'Papa dah pergi ke?' sambung Faris lagi.
'Dah, Faris sedar tak masa papa cium Faris tadi?' tanya saya.
Faris mengeling-gelingkan kepalanya.
'Kenapa kita tak pergi sekali dengan papa, mama?' tanya Faris sambil mengosok-gosok matanya.
'Biar papa siapkan kerjanya dulu, lepas tu barulah kita pergi, lagipun masih ada kerja yang perlu mama selesaikan di sini' jelas saya pula. Faris dah tak sabar lagi untuk mandi laut dengan papanya di Pulau Jeju, Korea.
Hari ini saya tersenyum puas bila melihat hubby seronok melakukan penyelidikannya. Hubby sudah temui apa yang sebenar ingin dilakukan dalam hidupnya.

Untuk hubby yang mungkin membaca catatan ini dari seberang sana. Abang...
Tebarkan seluas-luasnya sayapmu,
teruskan langkah selagi mampu,
pergilah sejauh mana mahumu,
doaku sentiasa mengiringi setiap langkahmu.
Semoga perjalanan hidup kita di berkatiNya. Amin.

Aug 8, 2007

Ulang tahun ke-9


Selepas selesai menonton Transformers, Faris buat hal pulak. Dia nak kami belikan robot seperti yang dilihatnya tadi. Saya membiarkan hubby melayan kerenah Faris. Tapi permintaan itu tak hubby turuti. Sehingga memilih menu untuk makan tengahari pun, Faris masih menarik muka umeboshi. (Umeboshi adalah asam Jepun yang masam). Saya cakap pada hubby biarlah dia begitu, sekejap lagi eloklah tu.

Semasa makan saya menyapa Faris bila melihat dia sudah semakin pulih 'Faris tahu tak kenapa hari ni mama dan papa bawa Faris tengok wayang dan makan di tempat macam ni?'.

'Dousite (kenapa)?' balas Faris.

'Kerana hari ni hari istimewa, hari ulang tahun perkahwinan mama dan papa,' terang saya.

'Sooka, kyou wa mama to papa kekkong sita hi nanoka... (Oooo, hari mama dan papa kahwin ye...)' ulang Faris pula.

'Jya asita, Faris no tokubetsu hini sinai? (Kalau macam tu, esok boleh tak jadi hari istimewa Faris?)' Faris terus menyambung.

'Aaiik, kenapa pulak' tanya hubby agak kebinggungan.

'Ikitai tokoro ga aru dakara, asita ni sitaino (Ada tempat yang Faris nak pergi, Faris nak pergi esok)'. jawab Faris.

Saya tahu apa yang bersarang dalam fikiran Faris. Dia masih tak dapat melupakan robot-robot tadi. Walaupun Faris masih tidak mengetahui betapa berharganya memperingati hari-hari istimewa dan menyambutnya bersama keluarga, amalan seperti ini akan tetap kami terapkan di dalam dirinya.
Terimakasih buat hubby kerana menjadi seorang suami dan ayah yang baik dan penyayang. We'll love you ever and forever.

Tetamu menjamu selera

Sanak saudara menunggu ketibaan pengantin

Jul 27, 2007

lidah hikmah

'Ambil apa yang Faris nak bawa, letak dalam beg mama' kata saya sambil mencapai pen dan nota.

'Ceramah ni lama, Faris boleh tahan ke' tambah saya lagi.

'Daijyoubu (No problem)' jawab Faris sambil mengekori saya dari belakang. Kami berjalan menuju ke Nagoya universiti dalan cuaca yang panas terik. Perjalanan mengambil masa 5 min dari rumah. Hubby sudah menunggu kami di sana. Setiap kali ke majlis sebegini saya selalu berpesan pada Faris supaya berkelakuan baik dan sopan.

Tempoh 2 jam ceramah di ikuti dengan sesi soal-jawap, mungkin terlalu lama buat Faris. Saya perhatikan sekejap dia membaca buku doraemon, sebentar kemudian bermain dengan toys yang dimasukkan ke dalam beg saya tadi. Selepas itu tekun pula mengamati skrin yang tertera di depan. Saya hanya membiarkan dirinya membuat apa yang dia suka, asalkan tidak menganggu majlis. Semasa berjalan pulang ke rumah Faris bertanya 'Mama cikyuu te itsuka kowareru no (Mama, bumi ni akan musnah ke suatu hari nanti)?'

Rupa-rupanya dalam leka bermain dengan mainannya tadi sempat juga menangkap apa yang disampaikan oleh Prof. Zaghloul El-Naggar. Seorang professor di bidang Earth Sciences yang mengaitkan setiap kejadian di bumi ini dengan kebesaran Allah di dalam ayat-ayat suci Al-Quran secara saintifik dari hasil penyelidikan beliau. Penceramah yang diundang khas dari Egypt.

Saya yakin, dewasa kelak Faris pasti merasa bertuah kerana dapat mendengar ucapan dari seorang yang dianugerahi lidah hikmah seperti Prof. Zaghloul El-Naggar. Subhanallah. Sesiapa yang memahami bahasa arab sila ke sini.