Oct 29, 2007

Jati diri

Saya mengeleng-geleng kepala membaca artikel di dada akhbar. Kita masih lagi tercari-cari sesuatu yang masih samar dan kabur. Sedangkan negara-negara luar telah lama kukuh dan mantap dengan sistem pendidikan mahupun penyelidikan.

Keseronokan menuntut ilmu di bataskan dengan kongkongan bahasa. Bukan menidakkan kepentingan bahasa kedua, tetapi kerana terlalu terdesak dalam mengejar wawasan dan sasaran negara, kita terlupa sesuatu!

Yang berduit boleh melakukan apa saja bagi memenuhi keperluan dan tuntutan arus perubahan kehidupan bagaimana pula dengan mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang! Kita sengaja mencicirkan nasib anak bangsa di luar bandar. Kelak mereka terasing di bumi sendiri.

Anak-anak hari ini menimba ilmu dalam dilema pak menteri dan pembuat dasar. Jika ini masih berterusan, jati diri anak-anak ini akan semakin hilang.

Oct 25, 2007

Home alone

Untuk tempoh dua minggu ini saya minta kebenaran bos balik awal pada hari Rabu dan Jumaat. Pedal minyak ditekan kereta dipecut laju, saya agak tergesa-gesa pulang ke rumah.

Ting-tong, ting-tong... loceng rumah dipicit.

'Mama osoi ne, simpaisitetayo (Lambatnya mama balik, bimbang Faris)' ayat pertama yang keluar dari mulut Faris selepas membuka pintu.

'Sorry, mama banyak kerjalah sayang' jawab saya sambil merangkul bahunya berjalan menuju ke ruang tamu.

'Lama ke Faris tunggu mama? Faris buat apa tadi?' soal saya bertindih-tindan.

'Niji ni uthi ni tsuitayo, sono ato ha... (Faris sampai rumah pukul 2 lagi, lepas tu...)' Faris mematikan ayat di situ sambil senyum tersipu-sipu seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

Saya tidak bertanya lanjut memandangkan masa telah suntuk, cepat-cepat suruh Faris bersiap untuk pergi tuition.

Pada malamnya, semasa mencapai beg obento (bekal) Faris untuk dibasuh, terasa ringan sekali. Dibelek-belek di dalamnya bekal dan botol air tak ada.
'Tertinggal di sekolah ke semua benda tu!' saya terfikir. Nak bertanya pada tuan punya diri dia sudah tidur, nak dikejut kesian pulak.
Saya kembali ke dapur, terlihat di dalam rak pingan-mangkuk semuanya ada tersusun di situ !

Di waktu ketiadaan hubby, Faris selalu melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuatnya.

Oct 13, 2007

Salam Lebaran

1 Syawal 1428 Hijrah bersamaan 13 Oktober 2007
Salam Aidilfitri
dari kami sekeluarga
Maaf Zahir & Batin
Semoga bertemu lagi di ramadhan & syawal tahun hadapan.

Oct 2, 2007

Pangkat dan darjat

Gambar hiasan

Beberapa minggu lalu saya telah menghantar e-mail kepada bos. Mengirim berita dan bertanya khabar. Tetapi tujuan utama saya ingin mengatur temujanji dengan beliau bila balik ke Malaysia nanti.
Sehingga hari ini tiada balasan yang diterima. 'Sibuk ke, tidak sihat ke, atau beliau tiada di pejabat' hati ini berteka-teki.

Hari ini, buat sekian kalinya saya membuka webmail pejabat, dari kotak inbox saya tahu bos ada, beliau bukan outsation. Cuma, saya baru sedar bos telah dinaikkan taraf, dari Dr. A kepada Datin A. Staf lain memanggilnya Datin, sedangkan saya pula masih membahasakannya Dr. A.

Hati tertanya-tanya mungkinkah ini penyebabnya? Haruskah diperbetulkan ejaan 'Dr.' kepada 'datin' dalam e-mail susulan selepas ini! Tapi dari dulu lagi saya memanggilnya Dr. A !

Mungkin ada segelintir dari kalangan masyarakat kita yang mementingkan gelaran. Tanpa di sedari ianya akan menjarakkan hubungan, memisahkan kedudukan dan yang paling jelas mengkastakan masyarakat.

Teringat saya para entri 'melawan perasaan' yang saya kira boleh di kaitkan dengan kejadian ini, perkara ini nampak kecil tapi di mata saya ianya terlalu signifikan (meminjam kata-kata Prof. KamiI).

Di pejabat saya di sini, tak kira pangkat serta darjat kami di panggil 'cikgu'!