Jul 27, 2007

lidah hikmah

'Ambil apa yang Faris nak bawa, letak dalam beg mama' kata saya sambil mencapai pen dan nota.

'Ceramah ni lama, Faris boleh tahan ke' tambah saya lagi.

'Daijyoubu (No problem)' jawab Faris sambil mengekori saya dari belakang. Kami berjalan menuju ke Nagoya universiti dalan cuaca yang panas terik. Perjalanan mengambil masa 5 min dari rumah. Hubby sudah menunggu kami di sana. Setiap kali ke majlis sebegini saya selalu berpesan pada Faris supaya berkelakuan baik dan sopan.

Tempoh 2 jam ceramah di ikuti dengan sesi soal-jawap, mungkin terlalu lama buat Faris. Saya perhatikan sekejap dia membaca buku doraemon, sebentar kemudian bermain dengan toys yang dimasukkan ke dalam beg saya tadi. Selepas itu tekun pula mengamati skrin yang tertera di depan. Saya hanya membiarkan dirinya membuat apa yang dia suka, asalkan tidak menganggu majlis. Semasa berjalan pulang ke rumah Faris bertanya 'Mama cikyuu te itsuka kowareru no (Mama, bumi ni akan musnah ke suatu hari nanti)?'

Rupa-rupanya dalam leka bermain dengan mainannya tadi sempat juga menangkap apa yang disampaikan oleh Prof. Zaghloul El-Naggar. Seorang professor di bidang Earth Sciences yang mengaitkan setiap kejadian di bumi ini dengan kebesaran Allah di dalam ayat-ayat suci Al-Quran secara saintifik dari hasil penyelidikan beliau. Penceramah yang diundang khas dari Egypt.

Saya yakin, dewasa kelak Faris pasti merasa bertuah kerana dapat mendengar ucapan dari seorang yang dianugerahi lidah hikmah seperti Prof. Zaghloul El-Naggar. Subhanallah. Sesiapa yang memahami bahasa arab sila ke sini.

Jul 19, 2007

insan istimewa

Kenapa abang tu tak boleh jalan? kenapa dia tak boleh cakap seperti kawan-kawannya yang lain?... Banyak sungguh soalan Faris ketika kami sama-sama menonton drama pada malam minggu lepas.

Saya memang berhajat menonton drama tersebut bersama Faris. Drama yg mengisahkan kehidupan seorang anak cacat. Si-ibu yang kematian suami amat tabah menjalani hidup sebagai ibu tunggal, membesarkan dua org anak dengan tulang empat keratnya. Anak keduanya sempurna. Kebahagian diri sendiri terpaksa diketepikan demi kepentingan dan kebahagian anak-anak.
Ditakdirkan si-anak jatuh hati dengan seorang gadis sebaya dengannya. Rasa cinta itu datang tanpa diundang. Dia cuba menidakkan naluri dan perasaan seorang remaja. Perasaan itu dipendamkan saja bila mengenangkan diri serba kekurangan.
Dipendekkan cerita, sebelum si-anak pergi meninggalkan si-ibu buat selama-lamanya, dia menulis sebuah puisi bertajuk 'Okasan, boku wo unndekurete, gomenasai (Ibu, maaf atas kelahiran saya)'. Puisi yang membuatkan si-ibu menangis dan tertanya-tanya kenapa kemaafan yang diucapkan oleh si-anak. Puisi luahan hati si-anak yang mengambarkan perasaan sebenar insan yang dilahirkan cacat.

Ianya sebuah kisah benar yang dilakunkan semula.

Mungkin terlalu berat untuk Faris memahami isi ceritanya. Tetapi saya kagum kerana dia setia menunggu hingga ke akhir rancangan. Biarlah Faris sedikit demi sedikit belajar mengenal erti serta realiti kehidupan dan kemanusian.

Suatu hari bila sampai waktunya, saya akan memperdengarkan kepadanya kisah seorang insan bernama OTOTAKE HIROTADA. Insan istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan tangan. 'Go tai fuman zoku wa, fuben desu, fukou dewanai'... kata-katanya yang tercacat di dalam buku yang saya beli hampir 7 tahun lalu.
Saya ingin Faris memahami perasaan insan-insan sebegini dan dalam masa yang sama belajar mensyukuri apa yang di miliki.

Jul 16, 2007

catatan awal pagi

15 hb Julai 2007, 2:45 am

Hujan yang lebat mengejutkan saya dari tidur. Jam tepat menunjukkan pukul 1:00 pagi. Menoleh ke kiri,
Faris sedang lena tidur. Sedang di buai mimpi barangkali.
Saya segera bingkas bangun untuk memastikan semua tingkap dan pintu ditutup rapat. Langsir diselak, saya lihat pokok-pokok terhoyang-hayang dipukul angin, air hujan mencurah-curah membasahi bumi. Dari minggu lepas hujan dan ribut tidak henti-henti, taufan melanda Jepun lagi.

Tiba-tiba teringatkan hubby. Segera saya menghantar c-mail kepadanya. Balas hubby 'Bila hujan reda, abang balik'. Hubby masih menyiapkan kerja-kerjanya di lab. Sejak akhir-akhir ini balik jam 2, 3 pagi sudah menjadi perkara biasa bagi hubby. Kesibukan yang sukar diungkapkan dengan perkataan, tetapi saya amat memahaminya.

Saya sudah melalui saat-saat getir itu, kini giliran hubby pula. Secebis pengalaman semasa menyiapkan dissertasi tidak mungkin saya lupakan, di antaranya pengalaman 'berperang' dengan cuaca.

Bangunan di sekeliling masih terang-benderang, meskipun jam sudah pukul 4 pagi, ramai pelajar-pelajar master dan phD memilih untuk 'berumahtangga' di lab. Di pagi yang hening itu saya melangkah mengharungi salji tebal menuju ke kereta. Sampai di tempat letak kereta, bayang kereta pun tak nampak, salji memutih penuh. Kereta kami bersaiz 'gajah' kerja membuang salji yang mengambil masa 30 min. Apabila selesai, tangan yang kebas ini cepat-cepat membuka pintu kereta. Walaupun berkali-kali ditarik, pintu tidak boleh dibuka. Cuba pula membuka pintu belakang, semuanya tak berhasil... hampa sekali. Suhu di bawah 0 darjah celcius telah membekukan air salji. Dengan kecewa saya berpatah balik ke lab. Beberapa minit kemudian melangkah semula menuju ke kereta perlahan-lahan dengan tangan membawa sebekas air panas. Alhamdulillah kali ini urusan saya di permudahkan.

Lebih kurang jam 5:00 pagi barulah saya tiba di rumah. Hubby menyambut kepulangan saya dengan nafas yang lega.

Sudah tentu hubby bimbangkan diri saya seperti mana saya bimbang akan dirinya ketika hujan dan ribut sebegini.