May 27, 2007

USJ



Pada cuti sekolah yang lalu kami ke Universal Studio Japan (USJ) Osaka. Percutian keluarga selama 3 hari 2 malam. Perjalanan dimulakan pada awal pagi, kami bertolak selepas subuh lebih kurang pukul 6 am. Cuaca yang cerah pada pagi itu menceriakan suasana.

Setiba kami di sana, keadaan agak lenggang, terasa lega kerana orang tidak terlalu ramai. Dari jauh kedengaran bunyi muzik yang kuat, kami melihat orang berpusu-pusu keluar dari bangunan menuju ke satu arah. Kami pun turut menuju ke arah yang sama, rupa-rupanya parade sedang berlansung. Terhibur dengan persembahan mereka, ada berbagai characters seperti snoopy, peter-pan, sesame streets, shrek, woody wood pecker dan lain-lain.

Tetapi Faris sebaliknya, dia lansung tidak menunjukkan minat pada parade itu. Ada sesuatu di benaknya sejak dari tadi. Ketika kami melangkah masuk ke dalam USJ, dia terlihat roller coaster, routenya betul-betul melintas di atas kepala kami dari pintu masuk lagi. Semakin kuat jeritan orang di atas sana semakin membuak keinginan Faris untuk menaikinya. Gerun saya melihat lencongan dan pusingan roller coaster yang begitu laju dan curam. Tetapi kerana dia beriya sangat ingin mencuba dan tidak menunjukkan lansung minat pada parade, terpaksalah kami beredar. Cuma, saya terfikir Faris mungkin tidak dapat menaiki roller coaster tersebut. Semasa menuju ke sana saya memberi kiasan kepada Faris yang dia mungkin tak boleh naik roller coaster kerana tak cukup tinggi. Walaupun dia mengganguk-nganguk tanda faham tetapi harapannya untuk mencuba masih tinggi menggunung. Setelah sampai di pintu masuk Hollywood dream the ride saya memimpin tangannya ke suatu sudut. Di situ berdiri seorang staf lelaki yang kerjanya mengukur ketinggian kanak-kanak. Saya melihat Faris cuba menjengket-jengketkan kaki ketika staf berkenaan mengukur ketinggiannya. Dengan mata yang penuh mengharap dia memandang ke arah abang tadi.

'Boku zannenne, ato mou chotto gyuunyuu nomeba kondo kitara noreru kamo (Sori lah dik ye, adik kena minum susu banyak-banyak, nanti bila datang lain kali tentu boleh naik)' terang abg tadi sambil mengosok-gosok kepala Faris.

Faris membalas ucapan abang tadi dengan senyuman hambar. Dia cuba mengawal perasaan kecewanya. Faris melangkah meninggalkan tempat itu dengan hampa, sambil mengosok-gosok matanya yang berair. Rasa kecewa yang tidak dapat disembunyikan lagi jelas terbayang di wajahnya. Teringin benar dia naik roller coaster. Walaubagaimanapun saya lega dengan penerangan staf USJ tadi, pandai mereka mengambil hati kanak-kanak. Hanya dengan penerangan itu Faris dapat melupakan keinginannya.

Kami meneruskan langkah ke tempat lain. Anggapan saya meleset, rupa-rupanya orang terlalu ramai. Mereka berpusu-pusu beratur di dalam studio. Disebabkan itu, masa menunggu untuk melihat satu-satu attraction menjadi terlalu lama, ada yang mengambil masa berjam-jam dan 2 1/2 jam adalah masa menunggu yang paling lama pada hari itu. Mujur ada tiket istemewa yang disediakan iaitu universal express pass booklet. Dengan tiket ini kami tidak perlu beratur mengikut giliran, boleh terus masuk untuk menikmati attraction. Cuma perlu keluar duit lebih sedikit. Terima kasih hubby kerana memberikan yang terbaik buat kami.

Seperkara lagi, kebanyakan attraction di sana banyak yang melibatkan kenderaan. Di E.T. adventure studio perlu naik basikal, di Spiderman adventure studio naik kereta dan di Jurassic Park studio naik bot dan kapal. Ada suatu yang menarik tentang Faris. Saya perhatikan setiap kali memasang tali pinggang sebelum memulakan perjalanan, mulutnya terkumat-kamit menyebut sesuatu. Sebelum kereta di dalam studio Back To The Future bergerak saya memasang telinga ke arah Faris. Kedengaran dia menyebut 'Sunhanallazi sah horo lana...'. Tahulah saya, rupa-rupanya dia membaca doa. Rasa amat gembira dan terharu kerana walaupun di tempat hiburan sebegini Faris masih mengingati pesanan kami kepadanya setiap kali menaiki kenderaan.

Faris benar-benar seronok dan puas bermain di sana. Sebelum berangkat pulang dia berkata, 'Mama nanti kita datang lagi ke University Japan ye'. Walau dah beberapa kali saya membetulkan sebutan Universal Studio Japan tapi Faris masih senang menyebutnya sebagai University Japan.


2 bulan telah berlalu, kini setiap kali dia malas minum susu, saya mengumpamnya dengan cerita roller coaster. Senang pula dia menurut kata. Besar sungguh impak roller coaster USJ !

Hubby kata thrill sungguh naik roller coaster tu, punggung tidak mencecah kerusi sewaktu di atasnya. Dalam fikiran saya terbayang rasa gayat, gerun, takut, jika diberi naik percuma pun saya tak akan naik!

Terima kasih daun keladi kepada hubby yang mengaturkan percutian kami kali ini, lain kali boleh datang lagi.


May 19, 2007

ichigo gari (strawberry picking)

Baru-baru ini di hujung minggu yang cerah kami berangkat menuju ke ladang strawberry. Kami bertolak pada pukul 10 pagi. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 50 minit dirasakan terlalu singkat. Terhibur dengan gelagat Faris yang tidak jemu-jemu menyanyikan lagu 'kimi no suki na tokoro & furui tokei'. Lagu nyanyian Hirai Ken penyanyi kesukaannya.

Kami ke sana bersama dua lagi keluarga Malaysia. Setibanya di Gamagori Orange Park kami terus ke kaunter urusan. Bayaran masuk dikenakan 1200 yen (RM 36) untuk orang dewasa dan 1000 yen (RM 30) untuk kanak-kanak. Dari situ kami dibawa ke ladang strawberry dengan menaiki bus.

Kanak-kanak paling seronok bila dibawa ke tempat begini. Faris dan Ai-chan sudah tak sabar-sabar lagi untuk makan strawberry... sekejap mrk berlari ke baris depan, sekejap ke baris belakang, mencari strawberry yang berkenan di hati. Ada yang terpetik rangkainya sekali dan ada yang tersalah petik buah yang separuh masak. Rasanya pula ada yang manis dan ada yang masam.

Mujur pak cik yang menjaga ladang itu baik, kerenah dan keseronokan budak-budak itu memetik buah strawberry diperhatikan saja sambil tersenyum. Senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir pakcik yang sudah setengah abad lebih usianya. Sesekali dia melayan budak-budak itu berbual.

Izzati-chan yang masih kecil juga tidak ketinggalan menikmati buah strawberry. Sungguh comel sekali Izzati bersama strawberrynya, dengan ke dua-dua tangannya menggenggam strawberry.

Berbagai ragam berbagai cerita dapat di abadikan pada hari itu dan ini mungkin kali terakhir kami merasa ichigo gari di bumi sakura...

May 13, 2007

Haha no hi (Hari ibu)

'Mama kyou, genki nai ne... (Mama hari ni tak sihat/ceria ne... )' kata Faris memecahkan lamunan saya yang dari tadi memikirkan timbunan kerja di lab. dan tarikh paper submission yang semakin hampir. Kebelakangan ini Faris sememangnya agak prihatin dengan diri ini.

'Jyaa mama ni genki dasite agemasyou kaa! (Jom kita buat mama ceria nak!)' sampuk hubby sambil memberi isyarat mata kepada Faris.

'Mama me wo tojite' Faris senyum termewek sambil menyuruh saya menutup mata.

Kedengaran suara hubby dan Faris berkata serentak 'Jang jya janggggg...'

Ketika perlahan-lahan mata ini dibuka, saya melihat Faris menghulurkan segubahan bunga, gabungan antara bunga ros dan carnation berwarna merah jambu, sungguh cantik sekali.

Terima kasih buat hubby dan Faris yang mengaturkan tokubetsu oiwai (special celebration) sempena hari ibu buat diri ini. Arigatou...

Sambil memerhatikan kuntum-kuntum bunga yang dihias menarik, tiba-tiba saya teringatkan seseorang... Hjh Ramlah Ismail. Seorang insan yang terlalu istemewa dalam hidup saya. Terima kasih ibu kerana melahirkan, membesar dan mendidik diri ini.

IBU yang ku sayangi
Kaulah yang ku kasihi
Tempat aku bermanja
Dengan sepenuh mesra

Engkaulah yang mendidik
Mengasuh ku sentiasa
Aku pintar dan cerdik
Kerna asuhan IBU

ps: Masih segar dalam ingatan lagu IBU yang diajar oleh cikgu muzik semasa saya darjah 2 di SRK Bandar Temerloh, Pahang.

May 2, 2007

namae (nama)


'Neeee mama dousite boku no namae Faris ni sitano? (Mama kenapa bagi nama Faris pada Faris)' Faris mengajukan soalan sambil memandang kiri dan kanan ke arah saya dan hubby.

'Sebab nama Muhammad Faris tu boleh membentuk Faris jadi anak yang baik, bijak, cergas dan beriman' jawab saya sambil mencedok lauk ke pinggannya.

'Demo Faris wa sono namae wa iya (Tapi Faris tak nak nama tu)' katanya mengeleng-gelengkan kepala.

'Oklah, kalau macam tu Faris nak nama apa?' tanya saya tanpa banyak menyangkal kehendaknya.

'Emmmm... Katsutoshi ni sitara dou? (emmmm... kalau Katsutoshi boleh tak?)' ucap Faris tersenyum lalu meletakkan sudu ke tepi pinggan menunggu jawapan dari saya.

'Kenapa Faris nak nama Katsutoshi?' soal saya pula.

'Katsutoshi ni sitara boku wa mou wasure nanka sinai, Faris no namae da to syukudai wo wasuretari, boushi wo mottekaete wasuretari...! (Kalau nama Katsutoshi nanti Faris tak lupa lagi. Kalau nama Faris, Faris selalu lupa, lupa hantar homework, lupa bawa balik topi...)' panjang lebar Faris menyenaraikan perkara yang dia selalu lupa.


'Baiklah kalau macam tu, Faris dah tak boleh jadi anak papa dan mama lagi, Katsutoshi tu nama anak Jepun, boleh ke macam tu?' sampuk hubby sambil menyuap nasi.

'Zettai iya... (Tak nak...)' Faris menjawab pantas.
Jelas terbayang di wajahnya rasa tidak puas hati.

'Dah Faris cepat habiskan nasi tu, lepas tu gosok gigi, kemudian tidur.' saya mematikan perbualan kami di meja makan malam itu.

Sebelum tidur seperti biasa saya menemani Faris. Kali ini bukan buku cerita yang dibacakan tetapi saya menceritakan betapa istimewa nama yang kami berikan padanya. Sebelum terlelap, Faris sempat bersuara 'Mama boku no namae Faris wo tsukete kurete arigatou, oyasumi... (Mama terima kasih kerana bagi nama Faris, selamat malam)'
'Oyasuminasai' balas saya kembali.
Sambil mengusap-gusap rambutnya fikiran saya melayang ke zaman kanak-kanak dulu.
Nama saya panjangggggg, teringin sangat nak nama yang pendik... a-y-u... begitulah nama yang saya memandai beri pada diri sendiri. Dulu saya selalu terfikir disebabkan nama yang panjanglah saya degilllllllllllll.