Jan 28, 2008

Qobin

Beberapa minggu lepas, Nagoya menerima kunjungan istemewa dari seorang warga Malaysia. Saya mesti pergi berjumpa dengannya, detik hati. Hubby juga sependapat dengan saya. Kami ingin berjumpa sendiri dengan jejaka berusia 26 tahun ini.

Dari satu benua ke satu benua dia mengembara meneruskan misi menjelajah dunia dengan berbasikal. Tentunya cabaran demi cabaran telah diharunginya. Tambah lagi di sini sekarang musim dingin, sejuknya menusuk hingga ke tulang sum-sum. Tidak semua di antara kita mampu berbuat demikian. Ia bukanlah satu perkara yang mudah. Tanpa memiliki suatu kelebihan mahupun kekuatan pasti misi tersebut tidak akan berjaya.

Kami tiba sekitar jam 12:30 pm, apartment milik tiga orang pelajar Malaysia penuh sesak dengan para tetamu. Rata-ratanya adalah pelajar Malaysia di sini. Tuan rumah telah bermurah hati menyediakan jamuan makan tengahari. Mereka berbual sambil enak menjamu selera.
Pandangan kami teralih kepada seorang yang berbadan tegap. Hubby menghulur dan berjabat tangan, saya memerhatikan dari belakang. Kami berkenal-kenalan. Baru kami tahu dia merupakan pelajar dari fakulti sains sukan dan rekreasi (FSR) UiTM. Dia juga merupakan salah seorang bekas pendaki gunung Everest.
Kami berborak santai. Katanya strategi berbasikal terpaksa diubah kerana dia mengalami kecederaan ligamen lutut. Misi terpaksa diteruskan dengan menunggang motorsikal.

‘Apa kekuatan yang Qobin ada untuk buat semua ini?’ hubby mengaju soalan yang saya nanti-nantikan kepadanya.

‘Saya memang dari dulu minat dengan sains, tapi saya tak pandai subjek-subjek sains bang, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang saya berkebolehan dan saya akan melakukannya sebaik mungkin,’ kata Qobin merendah diri setelah mengetahui rata-rata pelajar di sini mengambil jurusan kejuruteraan.

‘Memang persepsi orang terhadap apa yang saya lalukan ni macam-macam, tapi saya tak kisah sebab saya lakukan ini untuk diri saya bukan untuk orang lain. Tapi saya syukur jika apa yang saya lakukan ini dapat memberi kebaikan untuk orang lain. Satu lagi bang, bukannya jumlah berapa ribu kilometer saya menjelajah dunia ni, tapi pengisian di dalam penjelajahan saya ini yang penting’ tambahnya lagi.

Saya tertarik mendengar jawapan tulus dari Qobin. Tentunya dia telah melalui beberapa peringkat kepayahan yang tidak kami ketahui. Namun saya pasti berbekalkan semangat dan kesungguhan, Qobin pasti akan pergi lebih jauh.
Pucuk pangkalnya... ihklaskan hati, betulkan niat, insyaallah berkat.

Negara kita masih memerlukan ramai lagi anak muda yang berjiwa kental seperti Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin. Semoga usahanya diberkati.

Jan 25, 2008

Tukar langsir

'Tukarlah langsir baru Yang (langsir merujuk kepada template blog ini).' kata hubby.

'Ehhhh abang dah jemu ke? ' tanya saya spontan.

'Tahun baru ni, tukarlah mood sikit.' jawab hubby cuba mempengaruhi saya.

'Tengoklah nanti, bila ada masa.' balas saya. Saya tahu hubby sudah dapat mengagak jawapan itu.

Dalam apa jua situasi, bagi saya adalah penting kita bertindak mengikut keadaan. Begitu juga dalam kehidupan harian saya lebih suka bersederhana, tidak gemar membuat perbandingan antara diri sendiri dan orang lain. Biarlah orang lain tukar langsir, tukar perabot, tukar kereta! Itu hal mereka. Jika mereka berkemampuan biarkanlah... jangan pula disebabkan perkara itu hati kita menjadi tidak keruan. Berbelanjalah mengikut kemampuan sendiri.

Saya lebih selesa mengukur baju di badan sendiri dan saya senang dengan cara begini.

Jan 8, 2008

wakare ha tsurai yo...(perpisahan itu perit)

'Ne mama, dousite korekara boku gakudo ni ikenakunaruno?' tanya Faris semasa menikmati sarapan sebelum ke gakudo (after school child care).

'Mama nak tumpukan pada pelajaran Faris, kita kan dah nak balik Malaysia tak lama lagi' jawab saya.

'Sekkaku minna to sugoku naka yoku sitanoni...' tambah Faris memonyokkan muka.

'Mama kesiankan Faris. Kalau Faris ke gakudo, balik rumah dah malam Faris pun dah penat. Bila masa mama nak ajar Faris pelajaran sekolah kebangsaan!' sambung saya lagi.

'Minna ne boku no egao ga suki to itteta yo!', sambung Faris lagi seperti tidak mahu menerima hakikat yang dia perlu berhenti gakudo.

Faris bingkas bangun, sebelum saya sempat membuka mulut. Sosej kegemaran hidangan pagi itu tidak dihabiskannya, dia terus masuk ke dalam bilik.


Saya tahu dia menangis.

Pertemuan dan perpisahan yang sudah menjadi lumrah dalam hidup kami sekeluarga. Sedaya mampu kami cuba mengatur dan merancang yang terbaik buat Faris. Kami mahukan perubahan itu di hadapinya sedikit demi sedikit. Semoga dia akan mengerti dan dapat menerima hakikat... inilah episod kehidupannya.

Faris's last song

Special letter from all


Jan 3, 2008

Happy New Year 2008

Akemashite omedetou (Selamat tahun baru)...
Hari ini kami sekeluarga ke rumah Prof. Ohsato (my big boss).

Sudah menjadi rutin tahunan, beliau menjemput semua warga asing datang 'beraya' ke rumahnya pada tahun baru. Setiap tahun penyelidik dan pelajar dari pelbagai negara datang dan pergi. Tahun lepas pelajar tahun akhir PhD dari Korea membawa kami sekeluarga ke rumah prof, tahun ini pula giliran saya membawa pelajar master dari Vietnam ke rumah beliau.

Prof. Ohsato akan bersara akhir Mac tahun ini, tapi semangat kerjanya tidak pernah pudar, tadi beliau menyatakan telah menempah satu bilik khas untuk beliau membuat saki baki kerjanya selagi di perlukan oleh universiti...sebagai Prof. Emiritus.
Dalam kepala saya pula mula terbayangkan mesyuarat, eksperimen dan kerja-kerja lain di pejabat. Setelah seminggu bercuti, minggu depan bermulalah kerja di tahun baru. Tiba-tiba muncul perkataan m-a-l-a-s tersusun elok di benak ini. Terasa diri tewas dek kerajinan dan kegigihan beliau.

Kami berundur sekitar jam 2:30 pm berpisah di stesen subway kerana pada jam 3:00 pm prof. ada perjumpaan dengan kawan-kawan lama beliau. Mereka berjumpa di tempat yang sama, tarikh dan pada waktu yang sama.
Kata beliau 'sama setiap tahun'.
Hati saya berdetik 'patut la...!'

Orang Jepun ni memang ada-ada saja yang unik tentang mereka. Kami juga dijemputnya pada tarikh dan waktu yang sama (3hb Jan, 11:00 am), sama seperti tahun lepas.

Tahun depan siapalah pula yang akan berkunjung ke rumah beliau pada 3 Januari 2009.