May 26, 2008

Chisa na sekai (It's a small world)


Saya pernah menulis tentang Faris dan Iman. Dua sahabat ini walaupun jarang berjumpa tapi mereka mudah mesra.
Tahun lepas Iman pulang ke Malaysia. Farah, ibu Iman menghubungi saya beberapa jam sebelum mereka berangkat pulang. Semenjak hari tu kami belum berhubung.

Semasa mengambil Faris dari sekolah tengahari tadi, saya mendapat berita yang tidak di sangka-sangka. Terasa kecilnya dunia ni.

'Faris masih ingat Iman?' tanya saya gembira.

'Eeeemmmm,' Faris cuba mengingat.

'Alah Iman, anak aunty Farah!,' beritahu saya.

'Aaaa ingat,' kata Faris. Tersenyum lebar.

'Iman mungkin bersekolah di sini, kalau masih ada kouta,' kata saya.

'Kouta tu apa mama?' tanya Faris tak faham.

'Kouta tu, gakkou ni hairareru ninnzu ga kimararete...(bla-bla-bla)' saya terjemah.

'Oooo...,' Faris mengangguk-angguk. Cuba memaham.

'Seronokkan mama, kalau Iman dapat sekolah sekali dengan Faris,' sambung Faris.

May 21, 2008

Gakkou (sekolah)

"Mama, Faris teringin ke sekolah ni," kata Faris ketika kami melepasi kawasan sekolah kebangsaan yang terletak hanya beberapa minit dari rumah kami.

"Kenapa mama hantar Faris sekolah jauh? tanya Faris.

"Di sekolah Faris sekarang, murid tak ramai, bila murid tak ramai kelas pun tak bising, bila kelas tak bising cikgu mudah mengajar," terang saya satu-persatu.

"Dan cikgu pun tak garang," tambah saya lagi.

"Ha..aahh betul tu mama, Faris tak suka cikgu Matematik kat sekolah kebangsaan dulu," kata Faris.

"Kenapa?" tanya saya. Sengaja nak uji dia ingat atau tak pada peristiwa 3 tahun lalu.

"Sebab dia rotan Faris, lepas tu suruh Faris berdiri atas kerusi," jawab Faris.

"Bila bahasa Melayu Faris dah fasih, mama masukkan ke sekolah kebangsaan ye. Sebab tu Faris kena belajar betul-betul dengan Cikgu Azura," sambung saya lagi.

"Janji tau," kata Faris.

"Ye, mama janji." balas saya.

Nota: Cikgu Azura adalah guru tuition bahasa Melayu Faris sekarang.
3 tahun lepas Faris dihukum oleh cikgu Matematik hanya kerana dia tidak memahami arahan cikgu. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.
Sekarang Faris ke sekolah suka hati,
saya di rumah senang hati.

May 20, 2008

Bed time story

Suatu malam di kamar tidur, sebelum kami melelapkan mata.

"Nur tak faham sungguh la..." kata saya sambil berbaring sebelah hubby.

"Tak faham apa yang?" tanya hubby.

"Kenapa ye! sesetengah orang tu kalau nak bercerai, mesti gaduh-gaduh, burukkan pihak sana, burukkan pihak sini. Tak boleh selesai cara elok ke?" sambung saya.

"Nama lagi bercerai, kalau baik-baik tak jadi cerailah." balas hubby.

"Kita kalau pisah, pisah elok-elok ye bang." kata saya memeluk bantal.

"Isssssshhhh ayang ni, merepek ke lain pulak dia." hubby jeling saya.

"Manalah tahu jodoh kita tak panjang." saya berseloroh. Menarik selimut sejuk.

May 16, 2008

Futari kiri (Hanya berdua)

Hari ini suasana di rumah sunyi dan sepi.

Selepas menghantar Faris ke sekolah, rutin harian saya teruskan seperti biasa. Melakukan tugas-tugas rasmi surirumah, membasuh kain, mengemas rumah, menyapu sampah dan memasak. Ketika menyidai kain, jiran sebelah menyapa.
"Masih bercuti?", tanya jiran.
"Ye, cuti saya panjang lagi", jawab saya.

Saya gembira dapat melihat sendiri perkembangan Faris dalam tempoh bercuti sekarang ini. Setiap kali balik dari sekolah ada-ada saja yang akan diceritakannya. Kawan-kawan minta Faris cakap bahasa Jepun, kawan-kawan suruh Faris tulis kanji dan macam-macam lagi. Terbaru, dia asyik bercerita tentang kelas musik.

"Faris dah ada basic piano, Faris main piano sajalah", kata saya.
"Tapi mama, di sekolah piano cuma ada satu jadi sorang saja yang boleh main", balas Faris.
"Lagipun Faris dah tak nak main piano, Faris nak main violin pulak", tambahnya lagi. Memujuk kami belikan violin.

Tetapi hari ini tidak seperti biasa, Faris agak diam semasa balik dari sekolah tadi.

"Mama, bokutachi mata futari kiri ni nachattane (Mama tinggal kita berdua ajekan)", kata Faris. Matanya memerhati kereta yang bertali arus di jalan raya.
"Iyee", balas saya lalu memperlahankan radio.
"Papa ga inai to sabisyi kedo, mae he mae he susumou (Kalau papa tak ada sunyi tapi kita harus melangkah ke depankan)", kata Faris positif. Dia masih memandang ke luar.
"Faris doalah supaya papa cepat balik", sambung saya lagi.

Saya tahu, Faris rindukan papanya. Semalam papa di M'sia, hari ni di Jepun, minggu depan ke US, minggu seterusnya ke Kanada. Kami berjauhan lagi.
Hubby sedang mendaki puncak kerjaya.

May 11, 2008

Stress

Sebulan yang lalu.
Kami berbincang dengan penolong pegetua di sekolah berdekatan mengenai perdaftaran sekolah Faris. Beliau menasihatkan kami mencari alternatif di sekolah lain.

'Bilangan murid di sini ramai, satu kelas ada 47 murid' kata beliau.
'Ada cikgu yang tidak sempat ingat nama anak murid, keadaan ini mungkin akan menyukarkan proses penyesuaian anak encik' tambahnya lagi memberikan pandangan yang ikhlas.

Tiba-tiba datang seorang pengawas bersama seorang murid. Penolong pengetua menyuruh mereka berjumpa dengan cikgu yang berada di dalam pejabat. Jarak mereka hanya beberapa meter dari kami. Perbualan mereka jelas dapat saya dengari.

'Cikgu dia nak pinjam telifon' kata pengawas.
'Kamu nak telifon siapa?' tanya cikgu.
'Cikgu, saya nak telifon ayah, perut saya sakit' jawab budak itu.
'Kamu ni tiap kali ujian kamu sakit perut, pergi buat ujian dulu' cikgu mengarah.

Saya simpati melihat budak itu melangkah lemah meninggalkan pejabat. Saya kira dia budak tahun satu. Dari air mukanya saya rasa dia bercakap benar. Tetapi, mengapa cikgu tadi tidak cuba untuk memahami psikologi budak seperti ini.

Zaman sekarang kanak-kanak, kecil-kecil lagi dah stress.
Kesian mereka.

May 7, 2008

Trauma

Tangan dan kaki masih sedikit mengeletar, tetapi saya teruskan memandu. Saya dalam perjalanan mengambil Faris dari sekolah.
Sampai di sana, Faris sudah menunggu. Mulutnya tiba-tiba tergangga apabila melihat bahagian sisi depan kereta kami kemek.

'Mama eksiden tadi' saya memberitahu Faris.
'Eeee ye ke, mama tak apa-apa?' tanyanya.
'Mama ok, cuma mama masih terkejut' jawab saya.

Sampai di rumah saya masih menilik membelek kereta yang dibeli hasil dari penat lelah berkerja separuh masa, sewaktu zaman muda remaja dulu. Rasa sedih sangat.
10 minint kemudian hubby tiba di rumah.

'Ayang tak apa-apa?' tanya hubby sejurus memasuki rumah.
'Nur ok, cuma kereta kita kemek sikit' balas saya lemah.
'Kereta tu kita boleh baiki yang penting ayang selamat' kata hubby.

Kata-kata hubby menyejukkan jiwa saya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Sebenarnya saya kurang selesa memandu di Malaysia. Pandangan peribadi saya, hemah memandu orang di sini masih rendah. Lori menjadi raja di jalanraya. Motosikal cilok sana cilok sini sesuka hati. Kereta mewah nak tunjuk hebat dialah yang paling laju, kereta kurang mewah pun nak tunjuk handal, tak nak mengaku kalah.