Aug 21, 2007

Tebarkan sayapmu

Jam menunjukkan pukul 6:15 pagi.
Hubby mengucup dahi Faris yang sedang lena tidur sebelum dia melangkah pergi meninggalkan kami.

'Hati-hati bang, tunggu kami di sana ye' pesan saya kepada hubby.

Saya hanya mengiringi pemergian hubby dari beranda rumah sehingga susuk tubuhnya hilang dari pandangan. Di dalam hati memanjatkan doa agar urusan hubby dipermudahkanNya.
Beginilah keadaan yang bakal saya lalui, hampir setiap bulan saya dan Faris ditinggalkan. Bermula Ogos hubby ke Korea, September ke Switzerland, Oktober ke Amerika dan November balik ke Malaysia. Saya redha dengan keadaan ini kerana di mata saya hubby mampu pergi lebih jauh, dan saya yakin suatu hari kelak hubby mampu mencipta nama di dalam bidangnya.

Masih saya ingat 9 tahun lepas pada 1998, bukan main susah lagi memujuk hubby supaya menyambung pelajaran bersama (ketika itu dia belum bergelar suami). Berbagai alasan hubby berikan. Saya tahu minatnya lebih kepada berkerja dari belajar. Kerana menghormati pendirian masing-masing kami memilih jalan sendiri, saya menyambung master di sini dan hubby berkerja di Malaysia. Beberapa minggu selepas diijabkabul, bak kata orang inai masih merah di jari, kami terpaksa berjauhan. Berpisah seketika semata-mata ingin mengejar cita-cita. Kami bersatu kembali pada tahun 2000.
Pada akhir Disember 2001, saya membuat kejutan lagi. Masih terbayang raut wajah ma dan abah bila saya menyuarakan hasrat menyambung PhD. Soalan spontan dari mulut mereka 'Ann dan Faris macam mana pula?'.
Ma dan abah bimbang kami akan hidup berjauhan lagi.
Sebenarnya dalam diam saya sekali lagi cuba menjerat hubby untuk sambung belajar. Mungkin serik dengan pengalaman berpisah dulu, akhirnya hubby setuju mengikut saya menyambung pelajaran. Di situlah bermulanya titik-tolak pengembaraan hubby di bidang robotic & mechatronic. Ilmu yang semakin dicari semakin ingin diterokai.
Berkat usaha dan doa akhirnya kami sama-sama berjaya menamatkan pengajian pada Mac 2005. Berlainan dari sebelum ini saya tidak lagi menyuruh hubby terus menyambung pelajaran. Biarlah hubby sendiri yang tentukan hala tuju kerjayanya. Suatu hari, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang hubby menyuarakan keinginan untuk menyambung pelajarannya lagi. Saya terlalu gembira mendengar berita itu. Tetapi realitinya, ianya satu keputusan yang harus kami bayar dengan sebuah pengorbanan. Kami terpisah lagi. Hidup berjauhan amat menguji ketabahan hati.

'Ohayooo mama' tiba-tiba Faris memecahkan lamunan saya dari kenangan lama.
'Papa dah pergi ke?' sambung Faris lagi.
'Dah, Faris sedar tak masa papa cium Faris tadi?' tanya saya.
Faris mengeling-gelingkan kepalanya.
'Kenapa kita tak pergi sekali dengan papa, mama?' tanya Faris sambil mengosok-gosok matanya.
'Biar papa siapkan kerjanya dulu, lepas tu barulah kita pergi, lagipun masih ada kerja yang perlu mama selesaikan di sini' jelas saya pula. Faris dah tak sabar lagi untuk mandi laut dengan papanya di Pulau Jeju, Korea.
Hari ini saya tersenyum puas bila melihat hubby seronok melakukan penyelidikannya. Hubby sudah temui apa yang sebenar ingin dilakukan dalam hidupnya.

Untuk hubby yang mungkin membaca catatan ini dari seberang sana. Abang...
Tebarkan seluas-luasnya sayapmu,
teruskan langkah selagi mampu,
pergilah sejauh mana mahumu,
doaku sentiasa mengiringi setiap langkahmu.
Semoga perjalanan hidup kita di berkatiNya. Amin.