Oct 25, 2007

Home alone

Untuk tempoh dua minggu ini saya minta kebenaran bos balik awal pada hari Rabu dan Jumaat. Pedal minyak ditekan kereta dipecut laju, saya agak tergesa-gesa pulang ke rumah.

Ting-tong, ting-tong... loceng rumah dipicit.

'Mama osoi ne, simpaisitetayo (Lambatnya mama balik, bimbang Faris)' ayat pertama yang keluar dari mulut Faris selepas membuka pintu.

'Sorry, mama banyak kerjalah sayang' jawab saya sambil merangkul bahunya berjalan menuju ke ruang tamu.

'Lama ke Faris tunggu mama? Faris buat apa tadi?' soal saya bertindih-tindan.

'Niji ni uthi ni tsuitayo, sono ato ha... (Faris sampai rumah pukul 2 lagi, lepas tu...)' Faris mematikan ayat di situ sambil senyum tersipu-sipu seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

Saya tidak bertanya lanjut memandangkan masa telah suntuk, cepat-cepat suruh Faris bersiap untuk pergi tuition.

Pada malamnya, semasa mencapai beg obento (bekal) Faris untuk dibasuh, terasa ringan sekali. Dibelek-belek di dalamnya bekal dan botol air tak ada.
'Tertinggal di sekolah ke semua benda tu!' saya terfikir. Nak bertanya pada tuan punya diri dia sudah tidur, nak dikejut kesian pulak.
Saya kembali ke dapur, terlihat di dalam rak pingan-mangkuk semuanya ada tersusun di situ !

Di waktu ketiadaan hubby, Faris selalu melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuatnya.