Dec 6, 2007

Sillatulrahim alaf baru

Hubby kata ‘Awal sangat ayang buat temujanji dengan Prof. tu’.

Memang awal, sebulan awal dari tarikh saya pulang ke Malaysia.
Saya lebih senang membuat perancangan sebegini kerana tidak suka terburu-buru di saat akhir.
Sehari sebelum bertolak ke KL saya menelifon Prof. mengesahkan kedatangan kami pada keesokkan hari.


Isnin, 26 Nov. 2007 sekitar jam 10:15 am kami mendarat di KLIA. Kami terus bergegas ke Uitm Shah Alam. Tempat di mana hubby bakal berulang-alik setiap hari apabila kembali ke Malaysia kelak.

Kami menuju ke bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS). Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Uitm Shah Alam. Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim pun sudah menanti, kedatangan kami di sambut ceria. Kami teruja dapat berjumpa dan bersembang dengan beliau. Sesekali Prof. berseloroh dengan hubby. Jika diamati dengan lebih mendalam Prof. secara tidak lansung menyelitkan sesuatu yang jelas signifikan dalam kata-kata beliau itu. Kami berbual santai.

Prof bertanya‚ ‘Kenapa nama Faruha?’.
FA untuk Faris, RU untuk Ru*ie dan HA untuk Ha*a*i*h jika digabungkan jadilah FaRuHa.’ terang saya.

Kemudian Prof. bertanya lagi, ‘Faris tak nak adik ke?’
Sebelum mengangguk pasti, Faris sempat mencuri pandang kearah saya. Saya melemparkan senyuman kepada Faris. Senyuman yang pastinya terkandung seribu makna. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Kami meninggalkan perkarangan Uitm ketika azan zuhur berkumandang.
Perjalanan diteruskan, hubby memecut memasuki highway utara-selatan menuju ke Melaka. Di dalam kereta sambil melayan hubby bersembang saya membelek beberapa naskah buku bertandatangankan Prof. Sudah tidak sabar rasanya untuk membaca buku Travelog Haji tulisan beliau.

Tidak pernah saya terfikir dunia blog mampu menjalinkan sillaturahim dalam bentuk yang sebegini.