Mar 17, 2008

Hadiah

Saya merasa agak luar biasa dengan rancangan percutian hubby kali ini. Lazimnya sebelum bercuti hubby akan berbincang itu dan ini dengan saya. Kebiasanya kalau hubby bayar hotel saya bayar duit minyak & tol, kalau saya belanja makan hubby bayar souvenir dan begitulah sebaliknya. Tapi tidak pada kali ini, semuanya hubby nak tanggung sendiri. Terasa pelik, saya melawak sendiri, menang loteri ke cik abang ni!

Sewaktu di sana barulah saya tahu... percutian kali ini adalah hadiah buat saya dan Faris. Kata hubby ini sebagai tanda terimakasih kepada kami yang setia menemaninya di sini.

Disneyland sungguh istemewa bagi kami.
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Tokyo Disneyland pada tahun 1995. Inilah tempat pertama saya dan hubby kunjungi setelah saya menerimanya sebagai teman istemewa. Masih saya ingat adik angkat kami, Lily yang menjadi pemandu pelancong. Kata Lily makanan di sana mahal jadi elok bawa bekal. Kami menurut saja, bertolak awal pagi dengan berbekalkan nasi goreng. Kami pantas ke hulu ke hilir bergerak sekaki mengikut Lily. Attraction pertama yang kami tuju ialah splash mountain di Critter Country.

Kali kedua saya ke sana ialah pada 2005. Kali ini kami membawa ma, abah dan adik-adik. Mereka datang ke Jepun sempena meraikan kejayaan saya menamatkan pengajian. Saya membawa mereka ke sana sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan, dorongan dan doa yang sering mereka panjatkan buat kami. Tanpa sokongan mereka kami tidak mampu sampai ke peringkat ini.

Sesungguhnya Tokyo Disneyland merakamkan memori indah dalam hidup kami, dan sudah tentu percutian kali ini juga memberikan satu kenangan yang berbeza. Keseronokan berganda, kami bermain sepuas-puasnya di disneyland & disneysea. Percutian yang meninggalkan seribu kenangan buat kami bertiga.

Terimakasih hubby atas hadiah ini.