Jul 19, 2007

insan istimewa

Kenapa abang tu tak boleh jalan? kenapa dia tak boleh cakap seperti kawan-kawannya yang lain?... Banyak sungguh soalan Faris ketika kami sama-sama menonton drama pada malam minggu lepas.

Saya memang berhajat menonton drama tersebut bersama Faris. Drama yg mengisahkan kehidupan seorang anak cacat. Si-ibu yang kematian suami amat tabah menjalani hidup sebagai ibu tunggal, membesarkan dua org anak dengan tulang empat keratnya. Anak keduanya sempurna. Kebahagian diri sendiri terpaksa diketepikan demi kepentingan dan kebahagian anak-anak.
Ditakdirkan si-anak jatuh hati dengan seorang gadis sebaya dengannya. Rasa cinta itu datang tanpa diundang. Dia cuba menidakkan naluri dan perasaan seorang remaja. Perasaan itu dipendamkan saja bila mengenangkan diri serba kekurangan.
Dipendekkan cerita, sebelum si-anak pergi meninggalkan si-ibu buat selama-lamanya, dia menulis sebuah puisi bertajuk 'Okasan, boku wo unndekurete, gomenasai (Ibu, maaf atas kelahiran saya)'. Puisi yang membuatkan si-ibu menangis dan tertanya-tanya kenapa kemaafan yang diucapkan oleh si-anak. Puisi luahan hati si-anak yang mengambarkan perasaan sebenar insan yang dilahirkan cacat.

Ianya sebuah kisah benar yang dilakunkan semula.

Mungkin terlalu berat untuk Faris memahami isi ceritanya. Tetapi saya kagum kerana dia setia menunggu hingga ke akhir rancangan. Biarlah Faris sedikit demi sedikit belajar mengenal erti serta realiti kehidupan dan kemanusian.

Suatu hari bila sampai waktunya, saya akan memperdengarkan kepadanya kisah seorang insan bernama OTOTAKE HIROTADA. Insan istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan tangan. 'Go tai fuman zoku wa, fuben desu, fukou dewanai'... kata-katanya yang tercacat di dalam buku yang saya beli hampir 7 tahun lalu.
Saya ingin Faris memahami perasaan insan-insan sebegini dan dalam masa yang sama belajar mensyukuri apa yang di miliki.