Jul 16, 2007

catatan awal pagi

15 hb Julai 2007, 2:45 am

Hujan yang lebat mengejutkan saya dari tidur. Jam tepat menunjukkan pukul 1:00 pagi. Menoleh ke kiri,
Faris sedang lena tidur. Sedang di buai mimpi barangkali.
Saya segera bingkas bangun untuk memastikan semua tingkap dan pintu ditutup rapat. Langsir diselak, saya lihat pokok-pokok terhoyang-hayang dipukul angin, air hujan mencurah-curah membasahi bumi. Dari minggu lepas hujan dan ribut tidak henti-henti, taufan melanda Jepun lagi.

Tiba-tiba teringatkan hubby. Segera saya menghantar c-mail kepadanya. Balas hubby 'Bila hujan reda, abang balik'. Hubby masih menyiapkan kerja-kerjanya di lab. Sejak akhir-akhir ini balik jam 2, 3 pagi sudah menjadi perkara biasa bagi hubby. Kesibukan yang sukar diungkapkan dengan perkataan, tetapi saya amat memahaminya.

Saya sudah melalui saat-saat getir itu, kini giliran hubby pula. Secebis pengalaman semasa menyiapkan dissertasi tidak mungkin saya lupakan, di antaranya pengalaman 'berperang' dengan cuaca.

Bangunan di sekeliling masih terang-benderang, meskipun jam sudah pukul 4 pagi, ramai pelajar-pelajar master dan phD memilih untuk 'berumahtangga' di lab. Di pagi yang hening itu saya melangkah mengharungi salji tebal menuju ke kereta. Sampai di tempat letak kereta, bayang kereta pun tak nampak, salji memutih penuh. Kereta kami bersaiz 'gajah' kerja membuang salji yang mengambil masa 30 min. Apabila selesai, tangan yang kebas ini cepat-cepat membuka pintu kereta. Walaupun berkali-kali ditarik, pintu tidak boleh dibuka. Cuba pula membuka pintu belakang, semuanya tak berhasil... hampa sekali. Suhu di bawah 0 darjah celcius telah membekukan air salji. Dengan kecewa saya berpatah balik ke lab. Beberapa minit kemudian melangkah semula menuju ke kereta perlahan-lahan dengan tangan membawa sebekas air panas. Alhamdulillah kali ini urusan saya di permudahkan.

Lebih kurang jam 5:00 pagi barulah saya tiba di rumah. Hubby menyambut kepulangan saya dengan nafas yang lega.

Sudah tentu hubby bimbangkan diri saya seperti mana saya bimbang akan dirinya ketika hujan dan ribut sebegini.