Jan 28, 2008

Qobin

Beberapa minggu lepas, Nagoya menerima kunjungan istemewa dari seorang warga Malaysia. Saya mesti pergi berjumpa dengannya, detik hati. Hubby juga sependapat dengan saya. Kami ingin berjumpa sendiri dengan jejaka berusia 26 tahun ini.

Dari satu benua ke satu benua dia mengembara meneruskan misi menjelajah dunia dengan berbasikal. Tentunya cabaran demi cabaran telah diharunginya. Tambah lagi di sini sekarang musim dingin, sejuknya menusuk hingga ke tulang sum-sum. Tidak semua di antara kita mampu berbuat demikian. Ia bukanlah satu perkara yang mudah. Tanpa memiliki suatu kelebihan mahupun kekuatan pasti misi tersebut tidak akan berjaya.

Kami tiba sekitar jam 12:30 pm, apartment milik tiga orang pelajar Malaysia penuh sesak dengan para tetamu. Rata-ratanya adalah pelajar Malaysia di sini. Tuan rumah telah bermurah hati menyediakan jamuan makan tengahari. Mereka berbual sambil enak menjamu selera.
Pandangan kami teralih kepada seorang yang berbadan tegap. Hubby menghulur dan berjabat tangan, saya memerhatikan dari belakang. Kami berkenal-kenalan. Baru kami tahu dia merupakan pelajar dari fakulti sains sukan dan rekreasi (FSR) UiTM. Dia juga merupakan salah seorang bekas pendaki gunung Everest.
Kami berborak santai. Katanya strategi berbasikal terpaksa diubah kerana dia mengalami kecederaan ligamen lutut. Misi terpaksa diteruskan dengan menunggang motorsikal.

‘Apa kekuatan yang Qobin ada untuk buat semua ini?’ hubby mengaju soalan yang saya nanti-nantikan kepadanya.

‘Saya memang dari dulu minat dengan sains, tapi saya tak pandai subjek-subjek sains bang, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang saya berkebolehan dan saya akan melakukannya sebaik mungkin,’ kata Qobin merendah diri setelah mengetahui rata-rata pelajar di sini mengambil jurusan kejuruteraan.

‘Memang persepsi orang terhadap apa yang saya lalukan ni macam-macam, tapi saya tak kisah sebab saya lakukan ini untuk diri saya bukan untuk orang lain. Tapi saya syukur jika apa yang saya lakukan ini dapat memberi kebaikan untuk orang lain. Satu lagi bang, bukannya jumlah berapa ribu kilometer saya menjelajah dunia ni, tapi pengisian di dalam penjelajahan saya ini yang penting’ tambahnya lagi.

Saya tertarik mendengar jawapan tulus dari Qobin. Tentunya dia telah melalui beberapa peringkat kepayahan yang tidak kami ketahui. Namun saya pasti berbekalkan semangat dan kesungguhan, Qobin pasti akan pergi lebih jauh.
Pucuk pangkalnya... ihklaskan hati, betulkan niat, insyaallah berkat.

Negara kita masih memerlukan ramai lagi anak muda yang berjiwa kental seperti Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin. Semoga usahanya diberkati.