May 27, 2007

USJ



Pada cuti sekolah yang lalu kami ke Universal Studio Japan (USJ) Osaka. Percutian keluarga selama 3 hari 2 malam. Perjalanan dimulakan pada awal pagi, kami bertolak selepas subuh lebih kurang pukul 6 am. Cuaca yang cerah pada pagi itu menceriakan suasana.

Setiba kami di sana, keadaan agak lenggang, terasa lega kerana orang tidak terlalu ramai. Dari jauh kedengaran bunyi muzik yang kuat, kami melihat orang berpusu-pusu keluar dari bangunan menuju ke satu arah. Kami pun turut menuju ke arah yang sama, rupa-rupanya parade sedang berlansung. Terhibur dengan persembahan mereka, ada berbagai characters seperti snoopy, peter-pan, sesame streets, shrek, woody wood pecker dan lain-lain.

Tetapi Faris sebaliknya, dia lansung tidak menunjukkan minat pada parade itu. Ada sesuatu di benaknya sejak dari tadi. Ketika kami melangkah masuk ke dalam USJ, dia terlihat roller coaster, routenya betul-betul melintas di atas kepala kami dari pintu masuk lagi. Semakin kuat jeritan orang di atas sana semakin membuak keinginan Faris untuk menaikinya. Gerun saya melihat lencongan dan pusingan roller coaster yang begitu laju dan curam. Tetapi kerana dia beriya sangat ingin mencuba dan tidak menunjukkan lansung minat pada parade, terpaksalah kami beredar. Cuma, saya terfikir Faris mungkin tidak dapat menaiki roller coaster tersebut. Semasa menuju ke sana saya memberi kiasan kepada Faris yang dia mungkin tak boleh naik roller coaster kerana tak cukup tinggi. Walaupun dia mengganguk-nganguk tanda faham tetapi harapannya untuk mencuba masih tinggi menggunung. Setelah sampai di pintu masuk Hollywood dream the ride saya memimpin tangannya ke suatu sudut. Di situ berdiri seorang staf lelaki yang kerjanya mengukur ketinggian kanak-kanak. Saya melihat Faris cuba menjengket-jengketkan kaki ketika staf berkenaan mengukur ketinggiannya. Dengan mata yang penuh mengharap dia memandang ke arah abang tadi.

'Boku zannenne, ato mou chotto gyuunyuu nomeba kondo kitara noreru kamo (Sori lah dik ye, adik kena minum susu banyak-banyak, nanti bila datang lain kali tentu boleh naik)' terang abg tadi sambil mengosok-gosok kepala Faris.

Faris membalas ucapan abang tadi dengan senyuman hambar. Dia cuba mengawal perasaan kecewanya. Faris melangkah meninggalkan tempat itu dengan hampa, sambil mengosok-gosok matanya yang berair. Rasa kecewa yang tidak dapat disembunyikan lagi jelas terbayang di wajahnya. Teringin benar dia naik roller coaster. Walaubagaimanapun saya lega dengan penerangan staf USJ tadi, pandai mereka mengambil hati kanak-kanak. Hanya dengan penerangan itu Faris dapat melupakan keinginannya.

Kami meneruskan langkah ke tempat lain. Anggapan saya meleset, rupa-rupanya orang terlalu ramai. Mereka berpusu-pusu beratur di dalam studio. Disebabkan itu, masa menunggu untuk melihat satu-satu attraction menjadi terlalu lama, ada yang mengambil masa berjam-jam dan 2 1/2 jam adalah masa menunggu yang paling lama pada hari itu. Mujur ada tiket istemewa yang disediakan iaitu universal express pass booklet. Dengan tiket ini kami tidak perlu beratur mengikut giliran, boleh terus masuk untuk menikmati attraction. Cuma perlu keluar duit lebih sedikit. Terima kasih hubby kerana memberikan yang terbaik buat kami.

Seperkara lagi, kebanyakan attraction di sana banyak yang melibatkan kenderaan. Di E.T. adventure studio perlu naik basikal, di Spiderman adventure studio naik kereta dan di Jurassic Park studio naik bot dan kapal. Ada suatu yang menarik tentang Faris. Saya perhatikan setiap kali memasang tali pinggang sebelum memulakan perjalanan, mulutnya terkumat-kamit menyebut sesuatu. Sebelum kereta di dalam studio Back To The Future bergerak saya memasang telinga ke arah Faris. Kedengaran dia menyebut 'Sunhanallazi sah horo lana...'. Tahulah saya, rupa-rupanya dia membaca doa. Rasa amat gembira dan terharu kerana walaupun di tempat hiburan sebegini Faris masih mengingati pesanan kami kepadanya setiap kali menaiki kenderaan.

Faris benar-benar seronok dan puas bermain di sana. Sebelum berangkat pulang dia berkata, 'Mama nanti kita datang lagi ke University Japan ye'. Walau dah beberapa kali saya membetulkan sebutan Universal Studio Japan tapi Faris masih senang menyebutnya sebagai University Japan.


2 bulan telah berlalu, kini setiap kali dia malas minum susu, saya mengumpamnya dengan cerita roller coaster. Senang pula dia menurut kata. Besar sungguh impak roller coaster USJ !

Hubby kata thrill sungguh naik roller coaster tu, punggung tidak mencecah kerusi sewaktu di atasnya. Dalam fikiran saya terbayang rasa gayat, gerun, takut, jika diberi naik percuma pun saya tak akan naik!

Terima kasih daun keladi kepada hubby yang mengaturkan percutian kami kali ini, lain kali boleh datang lagi.