Sep 10, 2007

Jaga mama...

Saya mengagahkan diri menyediakan sarapan pagi.
Menu pada pagi hujung minggu cukup ringkas.. toasted mix-vegetables with a cheese topping. Satu untuk saya dan satu untuk Faris. Tetapi saya hanya menjamah buah-buahan, tak terasa nak makan roti, sakitnya perut ini... sakit rutin bulanan orang perempuan.

'Mama nak baring, Faris makan ye.' kata saya lalu melangkah ke bilik untuk berehat.
'Ok.' balas Faris ringkas.
Dia mungkin tak perasan saya sakit perut.

Sebentar kemudian terdengar dia membasuh tangan. 'Dah siap makan kot Faris ni' bisik hati saya. Teringatkan kain baju di dalam mesin basuh yang masih belum diangkat, saya memanggil Faris.
'Faris tolong mama angkat kain, Faris letak aje di situ nanti mama sidaikan.' minta saya.
'Ok mama, biar Faris sidaikanlah.' jawab Faris pula.
'Arigatone.' balas saya sambil tersenyum.

Dibelek-belek seluar dan bajunya, tentu dia berfikir macam mana nak sidai ni ! Saya hanya memerhatikannya. Tersenyum sendiri melihat pertama kali anak lelaki saya melakukan kerja menyidai kain, sudah pasti tidak sekemas mana. Tetapi hati ini amat gembira kerana dia cuba meringankan kerja saya.

Belum selesai menyidai kain, tiba-tiba dia ke dapur. Bunyi pinggan mangkuk berdentam-dentum di dalam sink.

'Faris buat apa tu?' laung saya dari dalam bilik.
'Tadi Faris lupa nak basuh pinggan mama.' jawap Faris.


Tak kuasa saya nak menghalang.
Sebentar kemudian Faris datang lagi menyambung kerja menyidai kain.


'Faris letak ajelah di situ, nanti bila mama dah ok mama buat.' kata saya lagi sambil menekan-nekan perut yang sakit ini.
'Mamakan tak sihat, biar Faris buatlah, Faris dah janji dengan papa nak jaga mama bila papa tak ada.' jawab Faris.


Setiap kali sebelum hubby pergi meninggalkan kami, dia akan berpesan kepada Faris. 'Faris lelaki, lelaki kena jaga perempuan, jaga mama ye'.

Hari ini buat pertama kalinya Faris menunaikan janjinya pada papa. Faris telah mengambil-alih tugas yang papa selalu lakukan di waktu saya begini.