Sep 29, 2007

Adam dan Hawa

'Mama ok ke? sapa Faris apabila melihat saya lama mengelamun.

'Mama ok, Faris pergi main kat sana ye' jawab saya ringkas.

Dari tadi bagaikan putaran video, satu-persatu kisah rumahtangga singgah di benak ini. Fikiran saya melayang-layang memikirkan nasib kaum Hawa.

---Kisah R---
R rakan sepejabat. Kami selalu berbincang hal kerja. Biasalah bila berbual meleret-leret dari satu topik ke topik yang lain, dari cerita kerja ke cerita keluarga. Katanya, saya beruntung dapat menghabiskan pelajaran dalam tempoh yang di rancang, punyai suami yang memahami, tidak seperti dirinya. Hati berdetik lain macam ayat R ni. Saya cuba menyelami apa yang tersirat di sebalik kata-katanya itu.
Rupa-rupanya R punya masaalah peribadi. Dulu sewaktu dia menyambung pelajaran di luar negara, suaminya hanyut... lupa diri, lupa isteri, lupa tanggungjawab. R terkial-kila sendirian, mana nak tumpukan fikiran pada pelajaran, mana nak fikirkan masalah suami sedang dirinya ketika itu berbadan dua. Sewaktu R mengadai nyawa melahirkan anak pertama pun suami tiada di sisi. Bayi yang baru berusia 3 hari terpaksa dikendongnya menaiki kapal terbang. R mengambil keputusan pulang ke tanahair. Impian R mengengam segulung ijazah hancur berkecai di tengah jalan.

---Kisah S---
S cantik orangnya. Mukanya ada iras-iras pelakun hindustan. S seperti R, juga menyambung pelajaran di negera orang putih. Bezanya dengan R, suami S tidak ikut S sekali ke sana. Suaminya sekejap di Malaysia sekejap menjengok S di oversea.

Di mata sanak-saudara suami S seorang yang penyayang. Mereka tidak pernah terlintas perkara yang bukan-bukan berlaku di dalam rumahtangga S.
Di takdirkan dengan kuasa Allah suatu hari tembelang suami pecah. SMS mendayu-dayu yang dihantarnya kepada perempuan lain dijumpai oleh salah seorang ahli keluarga. Adik-beradik semua terkejut! Serba-salah mereka dibuatnya. Hendak beritahu pada S takut menganggu pelajaran pula, maklumlah S di tahun akhir pengajian phD.

Ini adalah cerita benar di dalam seribu satu macam kisah rumahtangga. Kisah ibu yang berkerjaya.

Bagaimana pula dengan ibu-ibu yang bergelar surirumah, yang setia menjaga makan, minum dan pakai keluarga. Adakah pengorbanan yang mereka lakukan mendapat penilaian serta penghargaan yang setimbal dari si-suami. Ramai kaum ibu yang memperjudikan nasib diri demi kebahagian keluarga. Ada di kalangan mereka yang berpengalaman berpesan kepada saya 'Jangan sekali-kali meletakkan sepenuh kepercayaan pada lelaki'.
Ramai perempuan yang menjadi mangsa kealpaan lelaki. Kaum Adam berikan pelbagai sebab dan alasan untuk kepentingan diri sendiri. Mereka TERLUPA sebalik keseronokan yang dicari, segalas TANGGUNGJAWAB serta AMANAH yang AMAT BERAT menanti mereka. Terdayakah kaum ini memikulnya ?????
Hakikatnya, berapa ramai suami yang sedar tugas mendidik anak, isteri dan mencorak kehidupan sesebuah keluarga terletak di bahu mereka.

Sehingga cacatan ini ditulis saya masih mengingati seseorang yang hatinya telah robek dan kepercayaannya telah punah di landa onak-badai kehidupan rumahtangga. Bagaimana untuk saya mengembalikan semangatnya yang telah hilang !